Solat Berjemaah


Sebagai umat Nabi Muhammad saw, kita amat digalakkan untuk mencontohi Rasulullah saw dalam segenap aspek kehidupan, termasuklah dalam hal pelaksanaan ibadah solat. Memandangkan begitu tingginya nilai ibadah solat dalam Islam, maka kita sebagai Muslim juga dituntut untuk bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah tersebut, sesuai dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw kepada kita.

Antara perkara utama yang harus kita contohi Rasulullah saw dalam hal solat ini ialah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah. Melalui perkataan Nabi sallallahu alaihi wasallam kita dapati bahawa baginda amat menitik beratkan pelaksanaan solat fardu secara berjemaah ini dalam kalangan umatnya. Bahan dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Nabi saw bersabda (maksudnya):
"Demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku pernah hendak menyuruh para sahabat untuk mencari kayu api, lalu aku menyuruh agar bersolat jemaah. Seterusnya, aku menyuruh seseorang untuk mengimami orang ramai, sementara aku tidak ikut solat berjemaah kerana mencari rumah orang yang tidak mengikuti solat berjemaah, lalu aku bakar rumah mereka."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim juga, bahawa pernah suatu ketika datang seorang lelaki buta kepada Rasulullah saw yang meminta keringanan untuk solat di rumah. Namun, tatkala lelaki itu hendak pergi, Rasulullah saw memanggilnya dan bertanya, "Adakah engkau mendengar laungan azan?" Lelaki buta itu menjawab, "Ya." Rasulullah saw kemudiannya berkata, "Kalau begitu, penuhilah panggilan itu (solat secara berjemaah)."

Mesej daripada hadis ini cukup mudah, iaitu jika lelaki buta pun Rasulullah saw anjurkan supaya bersolat secara berjemaah, inikan pula kita manusia normal dan mendengar azan hampir setiap hari. Sudah pasti diri kita lebih dituntut oleh Rasulullah saw untuk melaksanakan solat berjemaah.

Melalui sirah baginda saw, kita dapati bahawa sejak baginda berhijrah ke Madinah, baginda tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sehinggalah baginda wafat (selama 13 tahun di Makkah sejak kedatangan Islam, Rasulullah saw dan para sahabat terpaksa solat secara bersembunyi atau bersendirian di rumah masing-masing kerana sentiasa berada dalam keadaan ditekan oleh kaum Quraisy). Malah, ketika Rasulullah saw dalam keadaan sakit tenat pada penghujung hayat baginda, baginda dipapah oleh para sahabat radiallahuanhu untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Hal ini sememangnya menampakkan betapa Rasulullah saw ingin mendidik umatnya agar mengambil berat akan ibadah solat fardu secara berjemaah ini.

Banyak kebaikan yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan solat fardu secara berjemaah. Antaranya ialah mereka akan dikurniakan ganjaran pahala yang berganda-ganda. Berdasarkan hadis yang kita sedia maklum, daripada Abdullah bin Umar radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (maksudnya):
"Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda."
(Riwayat Bukhari)

Selain itu Allah swt juga menjanjikan keampunan daripada dosa-dosa kepada orang yang menunaikan solat berjemaah. Hal ini bersesuaian dengan sebuah hadis daripada Uthman bin Affan radiallahuanhu yang mana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda (maksudnya):

"Sesiapa yang berwuduk untuk solat, lalu dia menyempurnakan wuduknya, kemudian dia terus berjalan untuk mendirikan solat fardu, lalu dia pun menunaikannya bersama orang lain atau secara berjemaah atau di masjid nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya."
(Riwayat Muslim)

Malah, sesuatu solat berjemaah itu akan digandakan kelebihannya apabila bertambah bilangan orang yang turut serta dalam solat berjemaah tersebut. Dalam hal ini, ada suatu hadis daripada Ubay bin Kaab radiallahuanhu, daripada Rasulullah saw yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat lelaki yang dilakukan bersama seorang lelaki yang lain lebih afdal (di sisi Allah) daripada solatnya secara bersendirian. (Begitu juga) solatnya bersama dua orang lelaki lebih afdal (di sisi Allah) daripada solat yang dilakukan bersama seorang lelaki sahaja. Semakin ramai bilangan ahli jemaah maka ia semakin disukai di sisi Allah."
(Riwayat Abu Daud)

Maka dengan segala tuntutan dan kelebihan solat berjemaah ini, apa lagi alasan untuk kita bertangguh, berasa malas atau berat hati untuk mengerjakannya? Mulai sekarang, ayuh kita beriltizam untuk memenuhi masjid sebaik sahaja seruan azan berkumandang. Tidak rugi kita berhenti sejenak dan meluangkan sedikit masa untuk solat berjemaah di masjid. Bahkan, segala usaha kita ini pastinya pula akan dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah yang Maha Penyayang.




Syarat-syarat sah solat berjemaah:

1. Berniat mengikut/menjadi imam.


2. Mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh imam.


3. Tiada dinding yang menghalangi antara imam dan makmum, kecuali bagi makmum perempuan di masjid hendaklah dibataskan dengan kain.


4. Tidak mendahului imam dalam takbir dan tidak pula melambatkannya.


5. Tidak mendahului imam dalam rukun-rukun sembahyang.


6. Kedudukan imam ialah di hadapan makmum, sekurang-kurangnya di takat tumit. Makmum tidak boleh berada di hadapan atau sebaris dengan imam.


7. Solat makmum harus sama dengan solat imam, misalnya sama-sama solat Zuhur, Jumaat, qasar, jamak dan sebagainya.


8. Makmum lelaki tidak mengikut imam perempuan.



Semasa berniat, seseorang itu perlu menambah perkataan makmuman (makmum lelaki), makmumatan (makmum perempuan), imaman (imam lelaki) atau imamatan (imam perempuan) selepas menyebut solat yang ingin dilakukan.

Antara syarat untuk menjadi imam:


  • Bacaannya lebih baik daripada bacaan makmum.


  • Seseorang itu bukan sedang mengikut atau menjadi makmum kepada imam lain.


  • Imam itu sudah mumaiyiz.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...