Hadith Maudu'


Selepas tahun 40 hijrah, timbullah hadith-hadith palsu iaitu sebaik saja terjadinya fitnah di akhir zaman khalifah Uthman. Umat islam pada masa itu berpecah kepada beberapa golongan:

1. Golongan Ali yang kemudian dinamakan syiah.
2. Golongan Khawarij, yang menentang Ali dan Muawiah.
3. Golongan yang memegang tampuk pemerintahan.

Atas dasar ingin mempertahankan pihak masing-masing, mereka mengada-adakan hadith palsu dan menyebarkannya ke dalam masyarakat. Golongan yang memulakannya ialah golongan syiah sebagaimana yang diakui sendiri oleh ketua mereka yang bernama Ibnu Abi Hadid: "Kota-kota di Iraq ialah satu-satunya kota yang mula-mula mengeluarkan dan mengembangkan hadith-hadith palsu itu, kerana kaum syiah tinggal di kota-kota itu."  Imam Zuhri berkata: "Keluar hadith dari kami sejengkal, lalu kembali padakami dari Iraq sehasta."




Sebab-Sebab Timbul Hadith Palsu

Antara sebab-sebab timbul hadith palsu ialah:

1. Perselisihan siasah dalam soal khalifah. 


Golongan yang paling banyak mengeluarkan hadith palsu ialah golongan syiah dan rafidah (sepuak dari golongan syiah yang pelampau) bagi memenuhi kepentingan masing-masing.Mereka telah mengeluarkan hadith palsu untuk menegakkan fahaman mereka tentang Saidina Ali dan:

"Barangsiapa ingin melihat kepada Adam tentang ketinggian ilmunya, dan pada Nuh tentang takwa dan baktinya, dan pada Ibrahim tentang kebaikan hatinya, dan pada Musa tentang kehebatannya, dan pada Isa tentang ibadatnya, maka hendaklah ia melihat pada Ali."

"Apabila kamu melihat Muawiyah atas mimbarku maka bunuhlah akan dia."

Pihak yang tidak memihak pada golongan syiah juga mengeluarkan hadith palsu mereka bagi menentang mereka seperti:

"Tidak ada sebatang pohon dalam syurga, melainkan tertulis pada tiap-tiap daun daripadanya Laailahaillallah Muhammadurrasulullah, Abu Bakar As Sidiq, Umar Al Faruq, dan Uthman Zunurain-yang mempunyai dua cahaya"



Golongan yang menyokong Muawiyah juga mengeluarkan hadith bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam pemerintahan. Mereka mendakwa nabi saw bersabda:

"Orang yang kepercayaan itu tiga orang, aku, Jibril, dan Muawiyah."



Golongan yang menyokong bani Abas juga mengeluarkan hadith seperti berikut:

"Abas itu orang yang memelihara (mengurus) wasiatku dan orang yang mengambil pusaka daripadaku."




2. Golongan Zanadaqah


Golongan yang benci pada perkembangan dan kebesaran islam. Mereka mengeluarkan hadith palsu bagi menghancurkan syariat islam dan kemurniannya serta mendatangkan keraguan pada penganutnya. Antaranya:

"Memandang pada muka yang cantik itu adalah ibadah."

Banyak lagi hadith palsu yang mereka keluarkan dalam urusan iktikad, akhlak, perubatan, dan hukum halal dan haram.Salah seorang daripada mereka ialah Abdul Karim bin Abi al-Auja’ yang telah dihukum bunuh. Tatkala hendak dijalankan hukuman pancung, Abdul Karim berkata: 

"Aku telah menciptakan di kalangan kamu sebanyak empat ribu hadith di mana aku telah mengharamkan perkara-perkara yang halal dan aku halalkan perkara-perkara yang haram."




3. Asabiah

Mereka adalah golongan yang terlampau taksub pada bangsa mereka. Golongan ini telah mengeluarkan hadith palsu seperti:

"Sesungguhnya Allah swt apabila Ia murka diturunkanNya wahyu dalam bahasa arab, dan apabila Ia suka diturunkanNya wahyu itu dengan bahasa parsi."

Bangsa arab juga mengeluarkan hadith serupa:

"Sesungguhnya Allah swt apabila Ia murka diturunkanNya wahyu dalam bahasa parsi, dan apabila Ia suka diturunkanNya wahyu itu dengan bahasa arab."




4. Golongan Yang Taksub Pada Imam Abu Hanifah

Mereka mendakwa bahawa nabi saw bersabda:

"Akan ada seorang lelaki pada umatku bernama Abu Hanifah An Nu'man bin Tsabit, dialah pelita umatku."




5. Golongan ahli hikayat yang berusaha menarik manusia kepada kebaikan melalui hadith palsu seperti:

"Barangsiapa berkata Laailaha illallah, nescaya Allah jadikan dari tiap-tiap kalimahnya seekor burung, paruhnya dari emas dan bulunya dari marjan"




6. Perbezaan Mazhab

Perselisihan dalam masalah fiqah menyebabkan pengikut-pengikut mazhab mengeluarkan hadith-hadith palsu.




7. Jahil Dalam Agama

Mereka adalah orang yang jahil tetapi ingin membawa kebaikan dalam agama. Kebanyakan mereka ialah ahli-ahli ibadah, orang-orang tasauf, dan orang-orang soleh. Nuh ibnu Abi Maryam telah banyak membuat hadith palsu mengenai kelebihan dan keutamaan surah-surah Al Quran demi mengajak menusia membaca Al Quran.




8. Mendapat Kedudukan

Orang yang ingin mendekatkan diri pada pembesar dan pemimpin untuk mendapat penghargaan dan kehormatan sanggup mengeluarkan hadith palsu demi membela perbuatan salah yang dilakukan oleh seorang raja atau ketua negara. Ghiats bin Ibrahim telah melihat khalifah Mahdi memperadu burung, lalu dia telah meriwayatkan hadith palsu:

"Tidak ada perlumbaan kecuali dalam perlimparan panah, atau perlumbaan kuda, atau memperadukan burung."

Padahal hadith sebenar hanya menyebut tentang panah dan kuda sahaja. Setelah mendengar hadith palsu itu, khalifah telah memberinya 10 000 dirham.






Tanda-Tanda Hadith Palsu


Terdapat beberapa tanda-tanda pemalsuan hadith dan pembohongan perawi-perawi diterangkan dalam kitab العجالة النافعة oleh muhaddith hindi Syah Abdul Aziz Bin Syah Waliyullah Al-Dahlawi:
1. Dengan pengakuan perawinya itu sendiri, seperti pengakuan dibuat oleh  Abu ismah Nuh bin Abi Maryam yang mengaku memalsukan hadith-hadith berkenaan dengan kelebihan membaca Al-Quran.

2. Dengan tanda-tanda yang didapati daripada diri keadaan perawi itu sendiri, seperti hanya:
a) Ingin memuaskan hati sebahagian para pembesarnya dalam berdusta.
b) Ingin menarik perhatian terhadap mereka (perawi).
c) Ingin mencari dunia melalui menjual agama.

3. Dengan tanda-tanda yang didapati daripada yang diriwayatnya seperti buruk susunan dan pengertiannya.

4. Menyalahi dengan sebahagian keterangan Al-Quran, Hadith Mutawatir, Ijma’ Qat’ie{muktamad} atau dengan akal yang sejahtera.

5. Perawi menyalahi dalam riwayatnya dengan sejarah yang masyhur.Contoh:
a) Berkata seseorang mengenai peperangan Siffin pada tahun 33H bahawa Abdullah bin Mas’ud berkata …….., “sedangkan Abdullah bin Mas’ud wafat sebelum peperangan Siffin pada zaman pemerintahan Uthman (R.A).
b) Mua’wiyah (R.A) menumpahkan darah orang ramai semasa beliau melarikan diri daripada peperangan Jamal, sedangkan peperangan itu berakhir dengan secara damai. Jenis maudhu’ seperti ini dapat dikesan dengan mudah.

6. Perawi adalah seorang rafedhi. Dia akan meriwayatkan hadith mengenai mencaci sahabat.

7. Perawi adalah seorang nasebi. Dia akan meriwayatkan hadith mengenai mencaci keluarga nabi. Teruskanlah kiasan demikian itu.

8. Perawi meriwayatkan hadith mengenai satu perkara yang wajib mengetahuinya dan beramal dengannya padahal dia menjadi tunggal meriwayatkan hadith itu, hanya ini adalah satu pendekatan yang amat ketara mengenai rawi itu pembohong atau pemalsu hadith.

9. Perkara yang diriwayatkan oleh perawi bersalah-salahan dengan tuntutan agama dan akal. Dan juga dasar-dasar agama menyalahkannya seperti riwayat:
لا تأكلوا البطيخ حتى تذبحوه  
“Janganlah kamu makan buah tembikai sehinggakan kamu menyembelihinya”

10.  Dinyatakan dalam riwayat mengenai ancaman yang bersangatan terhadap dosa kecil atau janji pahala amat besar terhadap sedikit amalan yang baik, seperti:
a) Menyebut pahala haji dan umrah bagi amalan yang terlalu sedikit.
b) Barangsiapa sembahyang sunat dua raka’at, maka ia akan diberi 70, 000 buah rumah, pada setiap rumah ada 70, 000 katil. Di atas tiap-tiap satu katil berada 70, 000 anak dara. Maka hadith-hadith yang datang seperti cara-cara tersebut samada mengenai pahala dan dosa kesemuanya dianggap hadith maudhu’.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...