Imam Al Syafi'e


Imam Al-Syafi`e lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris Al-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian darah Quraish dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya membawanya ke Mekah untuk ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana menuntut ilmu. Di Mekah Al-Syafi‘e memulakan perguruannya kepada Muslim bin Khalid al-Zanji, mufti Kota Mekah  ketika itu.




Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi Al-Syafi‘e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam, iaitu ajaran Malik bin Anas dan ajaran Abu Hanifah. Kitab ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah Al-Muattha' karangan Malik bin Anas dan Al-Syafi‘e dalam usia mudanya 15 tahun telahpun menghafal keseluruhan kitab tersebut. Al-Syafi‘e kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru dengan penulis kitab itu sendiri. Ketika itu Al-Syafi‘e berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Malik sehinggalah kematiannya pada tahun 179H/796M. 

Ketokohan al-Syafi‘e sebagai murid terpintar Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai. Al-Syafi‘e mengambil alih sebentar kedudukan Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi sehinggalah beliau ditawarkan kedudukan pejabat oleh Gabenor Yaman. Jawatan Al-Syafi‘e di Yaman tidak lama kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut Mazhab Syi‘ah. Selain itu pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara Bagdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.
dibawa menghadap ke Khalifah Harun al-Rashid dan beliau berjaya membuktikan kebenaran dirinya. 


Kehandalan serta kecekapan Al-Syafi‘e membela dirinya dengan pelbagai hujah agama menyebabkan Harun tertarik kepadanya. Al-Syafi‘e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Al-Syafi‘e telah berkenalan dengan anak murid Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin Al-Hasan Al-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi Al-Syafi‘e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam ajaran Malik bin Anas dan ajaran Abu Hanifah.

Pada tahun 188H/804M, Al-Syafi‘e berhijrah ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Mekah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi kelas pengajian. Al-Syafi‘e kini mula diiktiraf sebagai seorang imam dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Malik bin Anas dan Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh penduduk Mekah kerana kebiasaan mereka kepada ajaran Malik.


Pada tahun 194H/810M, Al-Syafi‘e kembali semula ke Baghdad dan beliau dipelawa untuk memegang jawatan qadi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Al-Syafi‘e kemudian kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana. Daud bin Ali pernah ditanya akan kelebihan Al-Syafi‘e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau menjawab:

"Al-Syafi‘e mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Dia seorang bangsawan, dia mempunyai agama dan i'tiqad yang benar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadis sahih dan hadis daif, nasikh, mansukh, menghafal Al-Qur'an dan Hadis, perjalanan hidup para Khulafa' Al-Rashidun dan amat pandai mengarang."


Dalam usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Malik bin Anas dan Abu Hanifah, al-Syafi‘e menghadapi banyak tentangan daripada pengikut-pengikut Mazhab Maliki yang taksub kepada guru mereka. Pada satu malam dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Al-Syafi‘e telah dipukul sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu Al-Syafi‘e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.

Al-Syafi‘e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir. Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul Al-Risala. Kitab ini adalah yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum dari pada sesebuah nas Al-Qur’an dan Al-Sunnah. Selain itu Al-Syafi‘e juga meninggalkan kitab fiqhnya yang masyhur berjudul Al-Umm. Ajaran Al-Syafi‘e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yakub Al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman Al-Marali (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya Al-Muzani (274H/888M).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...