Showing posts with label Sirah Nabawiyyah. Show all posts
Showing posts with label Sirah Nabawiyyah. Show all posts

Sultan Mahmud Ghazni


 



 Mahmud Ghazni ada juga mengenalinya Sultan Mahmud Ghazni/Ghaznawi adalah seorang sultan Turkment sekarang wilayah tersebut dikenali sebagai Turkmenistan. Tidak perlu kita membahaskan mengenai bagaimana baginda menakluk negara India dan meluaskan Empayar Islam. Perkara yang wajib kita ambil pengajaran ialah BAGAIMANA ALLAH MEMBERI KEMENANGAN KEPADA SEORANG RAJA YANG ZALIM INI.

  Terkenal dengan sikap kaki perempuan, kaki judi, kaki botol dan pelbagai jenis kaki lagi tidak menghalang Mahmud Ghazni menyimpan perasaan ingin mengubah kehidupan menjadi hamba yang soleh. Begitu juga manusia kebanyakkan kini yang semacam hanyut dalam gelora ombak kemaksiatan juga tidak terlepas dari naluri suci asal manusia yang dambakan kepada KEBAIKAN YANG HAKIKI.

  Pada satu masa, terdetik di hati sang raja ingin menakluk dan meluaskan empayarnya. Baginda berhasrat menakluk negara India dan menjadikan negara tersebut di bawah kekuasaan ISLAM. Dalam usaha meluaskan empayar kerajaannya, Mahmud Ghazni mengumpulkan 12,000 orang bala tentera bagi melanggar dan menakluk India. Beliau meminta 12 orang Ulama yang serban tebal, janggut lebat yang hafal al-Quran dan Hadis Sunan Sittah bagi memimpin bala tenteranya. Setiap seorang ulama dibekalkan dengan 1000 orang tentera yang dilatih khas dengan peperangan gerila dan tempur dalam keadaan puasa pada siang hari dan bangun bertahajjud pada malam hari. 

  Manakala sang raja yang banyak dosa merantau mencari guru Mursyid yang sampai kepada Murabbi di tempat terpencil. Nama guru tersebut Abu Hasan al-Khalqani seorang ulama yang mendapat keilmuan bukan dengan mempelajari dari mana-mana ulama lain melainkan hanya menjadi seorang penjaga kepada Makam Wali terkenal iaitu Abu Yazid al-Bisthami selama 48 tahun sejak berusia 8 tahun. Hal keadaan cara Syeikh Abu Hasan al-Khalqani mendapat ilmu itu pelik bin ajaib, maka ramai ulama-ulama duniawi yang tidak kenal darjah dan makam syeikh Abu Hasan al-khalqani ini memulau dan meminggirnya. Mahmud Ghazni berjumpa Abu Hasan al-Khalqani bertujuan menjadi murid kepada Wali yang mustajab doa tersebut semoga dengan harapan segala dosa-dosanya yang lepas diampunkan oleh Allah dan niatnya menawan negara India dimakbulkan Allah. Sebelum berpisah gurunya memberi secebis keratan jubah gurunya sebagai ingatan dan tautan kasih sayang antara murid dan guru tersebut.


  Selama 40 hari tenteranya dilatih 12 orang ulama dan selama itu juga Mahmud Ghazni dilatih oleh gurunya Syeikh Abu Hasan al-Khalqani. Selepas menjalani latihan tersebut, berjumpalah semula Mahmud Ghazni dengan bala tenteranya di tempat yang dijanjikan. Mereka berkumpul dan sama-sama berbaiah tidak akan lari dari medan peperangan melainkan dengan menang atau syahid. 12000 ribu tentera tersebut yang dilatih dengan bertempur dalam keadaan berpuasa siang hari dan bertahajjud di malam hari itu akan berdepan dengan 200000 tentera Sami Hindu yang handal dalam sihir-sihir peringkat tinggi seperti yang dilihat dalam ritual perayaan thaipusam.


  Selama 6 bulan berturut-turut berlaku pertempuran sehinggalah kelihatan tentera di sebelah pihak Islam mengalami kekalahan yang teruk. Maka berkumpul semula 12 orang ulama tadi dan mengeluarkan fatwa bahawa mereka hanya mencampak diri dalam kebinasaan sekiranya meneruskan lagi peperangan. Mustahil kemenangan di pihak Islam dan mencadangkan kepada Sultan Mahmud Ghazni supaya berundur berdasarkan ayat;


"Janganlah kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan"


  Sultan tidak bersetuju kerana pada awalnya sudah sama-sama menetapkan Syahid atau Kemenangan sahaja yang akan membawa mereka pulang. Oleh kerana sudah ramai tentera yang termakan dengan hasutan untuk pulang, maka Sultan memerintah setiap tenteranya meninggalkan segala kelengkapan peperangan dan senjata dan biarkan Sultan mereka seorang diri memerangi tentera Sami Hindu tersebut. Apabila segala kelengkapan ditinggalkan maka Sultan Mahmud Ghazni menghampar permaidani sejadah lalu mengeluarkan cebisan jubah gurunya, lalu solat hajat dua rakaat dan berdoa;


" Ya Allah, dengan berkat dan doa yang tidak pernah putus dari si pemilik cebisan jubah ini, berilah aku kemengangan ke atas tentera hindu Majusi ini"



  Selesai sahaja berdoa, Allah menghantar ribut salji yang menenggelamkan tentera sami hindu tersebut dan kemengangan dicapai Sultan Mahmud Ghazni seorang diri. Maka terbukalah kota-kota seperti New Delhi, Islamabad dan Ahmedabad yang dibuka oleh Sultan Mahmud Ghazni dan populasi Muslim di India sekarang adalah warisan daripada generasi Sultan Mahmud Ghazni tersebut.


  Apabila pulang semula ke Turkment, maka bertanyalah ulama 12 orang tersebut apa yang didoakan Sultan Mahmud Ghazni sehingga Allah memberi kemenangan sedangkan mereka juga berdoa namun tidak dikurniakan kemenangan. Jawab Sultan Mahmud Ghazni, beliau didoakan oleh Gurunya Syeikh Abu Hasan al-Khalqani dengan Seluruh hati dan jasad manakala kamu wahai para Ulama hanya berdoa kepada Allah dengan hujung lidah. Mana sama dengan doa gurunya Abu Hasan al-Khalqani.


  Nilai pengajaran yang boleh diambil dari kisah ini, Allah menyediakan pengampunan seumpama bayi yang baru dilahirkan kepada hambaNya sekiranya hamba tersebut benar-benar menyesali walau dosa-dosa seperti Mahmud Ghazni. Doa yang diucap dibibir juga tidak dimakbulkan Allah melainkan Doa-doa yang menyerahkan seluruh jiwa dan jasad kepada Allah. Dalam peperangan tidak ada jalan pulang melainkan Syahid atau kemenangan dan perit dalam peperangan adalah bentuk ujian bagi melatih hamba itu sendiri.


"Berapa banyak tentera yang jumlah sedikit yang mendapat kemenangan dengan izin Allah?"

Ini Dia Manusia Yang Paling Kedekut Di Dunia



Hussain bin Ali R.A memberitakan daripada ayahnya Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :

"Apakah tidak lebih baik aku khabarkan kepada kamu tentang orang yang dipandang sebagai manusia yang paling bakhil?”maka kami (para sahabat) menjawab : “Baik benar Rasulullah!” Maka Rasulullah S.A.W. meneruskan: “ Orang yang disebut namaku di hadapannya, maka tidak ia berselawat kepadaku, itulah manusia yang paling bakhil.!”

(At-Tirmizi, Imam Ahmad,Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Hadith 40 (Imam An Nawawi) - Hadith 7


Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda:

Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.
( Muslim )

Kefahaman Hadis :

1) Nasihah Lillah adalah dengan mengimaniNya, ikhlas dalam beribadah, mentaatiNya serta jauhi laranganNya.

2) Nasihah Likitabi adalah meyakini ia kalam Allah bukannya kalam makhluk. Mengambilnya sebagai Manhaj hidup yang sesuai sepanjang zaman serta berusaha memperelokkan bacaan dan faham isi kandungnya.

3) Nasihah Lirasulihi adalah membenarkan kenabian baginda serta mengikuti ajarannya. Kasih terhadap Rasulullah S.A.W. dan mengagungkan sunnah baginda, mengkaji sirahnya dan berakhlak dengan. akhlaknya.

4) Nasihah Li aimmati muslimin adalah membantu dalam tugasan, menasihati ketika lupa, dan menghalang dari berlaku zalim.

5) Nasihah Li ‘ammatihim adalah membimbing ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Mengajar apa yang mereka jahil terhadap agama dan mengalakkan mereka kepada ketaatan.


Pengajaran hadis:

Agama lslam adalah agama nasihat iaitu agama yang berorientasikan nasihat sebagai teras pembinaan umat, menjaga perpaduan, mencipta kemajuan dan pembangunan, sama ada kemajuan duniawi ataupun pembangunan rohani. Membiarkan kerosakan terus berlaku atau perkara yang kurang baik dilaksanakan adalah bertentangan dengan konsep nasihat lslam.

lslam memperuntukkan hak memberi nasihat kepada semua penganutnya tanpa mengira kedudukan dan status. Nasihat yang diberikan meliputi golongan manusia sama ada pemerintah atau rakyat.

Nasihat untuk Allah, KitabNya dan RasulNya bererti beriman dengan semua perkara tersebut dan beramal berpandukan tuntutannya yang sebenar.

Saudah - Isteri Tua Yang Taat


Para sahabat dapat merasakan kesepian Rasulullah s.a.w selepas kematian isterinya, Sayidatina Khadijah Khuwailid. Sebagai seorang pemimpin masyarakat, mereka faham kesibukan Rasulullah dan baginda memerlukan seorang isteri untuk menguruskan rumah dan anak-anak baginda. Tetapi siapakah wanita yang paling layak untuk diperisterikan baginda? 

 Seorang sahabat wanita, Khaulah Hakim tampil mengusulkan agar Rasulullah melamar Aisyah Abu Bakar. Tetapi Aisyah ketika itu masih mentah dan belum sesuai untuk memikul tugas sebagai seorang isteri. Sementara menunggu Aisyah matang dua atau tiga tahun lagi, seseorang perlu berada di rumah Rasulullah bagi menguruskan rumah dan anak-anak baginda. 

Bagi para sahabat, calon paling sesuai ialah Saudah Zam’ah, wanita Bani Adi bin Najar yang sudah bertahun-tahun menjanda. Seluruh masyarakat mengenali Saudah sebagai muslimah yang tabah. Dia dan suaminya antara orang yang mengikuti hijrah pertama ke Habsyah pada zaman awal perkembangan Islam. Ketika itu, masyarakat Islam berada dalam keadaan tertekan kerana ditindas hebat oleh orang kafir Quraisy. 

Untuk menyelamatkan diri, Rasulullah merestui sesetengah mereka berhijrah ke Habsyah. Selepas kematian suami dan anaknya di tanah asing itu, Saudah hidup sendirian di sana sehinggalah dia kembali ke Mekah. Rasulullah bersimpati dengan nasib Saudah. 

Selepas mendapat keizinan baginda, Khaulah segera meminang Aisyah dan Saudah. Dia berjumpa Abu Bakar terlebih dahulu, sebelum ke rumah Zam’ah. Di sana dia bertemu Saudah dan bertanya, “Apakah kebaikan dan berkat yang diberikan Allah kepadamu?” “Apa yang berlaku sehingga engkau bertanya begitu?” Soal Saudah, kehairanan. “Rasulullah mengutusku untuk melamarmu,” kata Khaulah. “Aku bahagia mendengarnya. Temuilah ayah dan katakan hal itu kepadanya,” 

Saudah ternyata terperanjat tetapi sangat gembira mendengarnya. Saudah menguruskan rumah tangga Rasulullah selama tiga tahun. Selepas baginda menikahi Aisyah, dia rela hati menyerahkan tugas itu kepada Aisyah. Malah Saudah juga begitu murah hati menghadiahkan gilirannya kepada Aisyah kerana ketika itu dia sudah uzur. Dalam diam, dia sangat memahami betapa istimewanya Aisyah di hati baginda. 

Oleh itu, Saudah cuba memberikan kesenangan dan kebahagiaan kepada Aisyah dengan harapan mendapat keredaan Allah dan terus kekal sebagai isteri baginda. Aisyah sendiri sangat mengagumi jasa dan kebaikan Saudah terhadapnya. Dia pernah berkata, “Tiada seorang pun yang aku ingin selalu berada di bawah bimbingannya kecuali Saudah Zam’ah. Kerana dia berwatak tegas.” 

 Saudah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Dalam satu riwayat, Aisyah menceritakan, isteri-isteri Rasulullah pernah bertanya baginda, siapakah yang paling cepat menyusul baginda ke alam baqa. Jawab Rasulullah, “Yang paling panjang tangannya.” (Maksud ‘panjang tangan’ pada Rasulullah, ialah orang yang paling banyak bersedekah dan berusaha dengan tangan sendiri). 

Mereka kemudian mengukur tangan masing-masing, dan Saudah yang paling panjang tangannya. Memang ternyata akhirnya Saudah yang paling cepat menyusul kewafatan Rasulullah. Ketika kematian Saudah, Ibn Abbas sujud ke bumi. Apabila ditanya mengapa dia berbuat begitu, jawab Ibn Abbas, “Rasulullah pernah bersabda, apabila melihat satu keagungan Allah, maka bersujudlah. Apakah keagungan Allah yang lebih besar selain meninggalnya seorang isteri Rasulullah?” 

 Wanita ini juga seorang perawi hadis. Dia meriwayatkan lima buah hadis daripada Rasulullah. Sebuah hadis dimuatkan dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim. Ada mengatakan Imam Bukhari turut meriwayatkan dua buah hadis yang diriwayatkan Saudah. Saudah dikenang sebagai seorang isteri solehah, taat dan tegas. Sebagai isteri tua di kalangan isteri-isteri Rasulullah, peranannya dianggap penting untuk membimbing para isteri yang lain. Sebagai seorang Umul Mukminin, dia menduduki status tertinggi dalam masyarakat dan menjadi rujukan semua orang.

5 Syarat Untuk Layak Bermaksiat


Pada suatu hari, Ibrahim bin Adham didatangi seorang lelaki yang gemar melakukan maksiat bernama Jahdar meminta nasihat kepada dirinya agar ia dapat menghentikan maksiatnya. Ia berkata, “Ya Aba Ishak, aku ini seorang yang suka melakukan perbuatan maksiat. Tolong berikan aku cara yang menghentikannya.” 

Setelah merenung sejenak, Ibrahim berkata, “Jika kau mampu melaksanakan lima syarat yang kuajukan, maka aku tidak keberatan kau berbuat dosa.” 

Dengan penuh rasa ingin tahu yang besar, Jahdar bertanya, “Apa saja syaratnya ya Aba Ishak?” 

“Syarat pertama, jika kau melaksanakan perbuatan maksiat, maka janganlah kau memakan rezeki Allah”, ucap Ibrahim. 

Lelaki itu mengerutkan dahinya lalu berkata, “Lalu aku makan dari mana? Bukankah segala sesuatu yang berada di bumi ini adalah rezeki Allah?” 

“Benar”, jawab Ibrahim tegas. 

“Bila kau telah mengetahuinya, masih layakkah kau memakan rezeki-Nya sementara kau terus melakukan maksiat dan melanggar perintah-perintah-Nya?” 

“Baiklah…”, jawab lelaki itu tampak menyerah. “Kemudian apa syarat yang kedua?” 

“Kalau kau bermaksiat kepada Allah, janganlah kau tinggal di bumi-Nya”, kata Ibrahim lebih tegas lagi. 

Syarat kedua ini membuat Jahdar lebih hairan lagi. “Apa? Syarat ini lebih hebat lagi. Lalu aku harus tinggal di mana? Bukankah bumi dengan segala isinya ini milik Allah?” 

“Benar. Karena itu fikirkanlah baik-baik. Apakah kau masih layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya sementara kau terus berbuat maksiat?”, tanya Ibrahim. 

“Kau benar Aba Ishak”, ucap Jahdar kemudian. “Lalu apa syarat ketiga?”, tanyanya dengan perasaan ingin tahu. 

“Kalau kau masih juga bermaksiat kepada Allah tetapi masih ingin memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, maka carilah tempat yang tersembunyi agar tidak terlihat oleh-Nya.”

Syarat ini membuat lelaki itu terkesima. “Ya Aba Ishak, nasihat apakah semua ini? Mustahil Allah tidak melihat kita?” 

“Bagus! Kalau kau yakin Allah selalu melihat kita, tetapi kau masih terus memakan rezeki-Nya, tinggal di buminya, dan terus melakukan maksiat kepada-Nya. Patutkah kau melakukan semua itu?” tanya Ibrahim kepada lelaki yang masih bingung itu. 

Semua ucapan itu membuat Jahdar bin Rabiah tidak membantah dan membenarkannya. “Baiklah, ya Aba Ishak, lalu katakan apa syarat yang keempat?” 

“Jika malaikatul maut hendak mencabut nyawamu, katakanlah kepadanya bahwa engkau belum mahu mati sebelum bertaubat dan melakukan amal soleh.” 

Jahdar termenung. Nampaknya ia mulai menyedari semua perbuatan yang dilakukan selama ini. Ia kemudian berkata, “Tidak mungkin…tidak mungkin semua itu kulakukan.” 

“Ya Abdallah, jika kau tidak mampu mengundurkan hari kematianmu, lalu dengan cara apa kau dapat menghindari murka Allah?” 

Tanpa berlengah lagi, ia bertanya syarat yang kelima, yang merupakan syarat terakhir. Ibrahim bin Adham untuk kali terakhir memberi nasihat kepada lelaki itu. “Yang terakhir, bila malaikat Zabaniyah hendak menggiringmu ke neraka di hari kiamat, janganlah kau bersedia ikut dengannya dan menjauhlah!” 

Lelaki yang ada dihadapan Ibrahim bin Adham itu tidak sanggup lagi mendengar nasihatnya. Ia menangis penuh penyesalan. Dengan wajah penuh sesal, ia berkata, “Cukup… cukup ya Aba Ishak! Jangan kau teruskan lagi. Aku tidak sanggup lagi mendengarkannya. Aku berjanji, mulai saat ini aku akan beristighfar dan bertaubat nasuha kepada Allah.”

 Lelaki itu memang menepati janjinya. Sejak pertemuannya dengan Ibrahim bin Adham, ia benar-benar berubah. Ia mulai menjalankan ibadah dan semua perintah-perintah Allah dengan baik dan khusyuk.


Wasiat Abu Bakar As Siddiq


Abu Bakar As-Siddiq berkata, 

"Kegelapan itu ada lima dan pelitanya pun ada lima. Jika tidak waspada, lima kegelapan itu akan menyesatkan dan memerosokkan kita ke dalam panasnya api neraka. Tetapi, barangsiapa teguh memegang lima pelita itu maka ia akan selamat di dunia dan akhirat." 

1. Kegelapan pertama adalah cinta dunia (hubb al-dunya). Rasulullah SAW bersabda, 
"Cinta dunia adalah biang segala kesalahan.
(HR Baihaqi). 

Manusia yang berorientasi duniawi, ia akan melegalkan segala cara untuk meraih keinginannya. Untuk memeranginya, Abu Bakar memberikan pelita berupa takwa. Dengan takwa, manusia lebih terarah secara positif menuju jalan Allah, yakni jalan kebenaran. 

2. Kedua, berbuat dosa. Kegelapan ini akan tercerahkan oleh taubat nashuha (tobat yang sungguh-sungguh). Rasulullah SAW bersabda, 
"Sesungguhnya bila seorang hamba melakukan dosa satu kali, di dalam hatinya timbul satu titik noda. Apabila ia berhenti dari berbuat dosa dan memohon ampun serta bertobat, maka bersihlah hatinya. Jika ia kembali berbuat dosa, bertambah hitamlah titik nodanya itu sampai memenuhi hatinya.
(HR Ahmad). 

Inilah al-roon (penutup hati) sebagaimana disebutkan dalam QS Al-Muthaffifin (83) ayat 14. 

3. Ketiga, kegelapan kubur akan benderang dengan adanya siraj (lampu penerang) berupa bacaan laa ilaaha illallah, Muhammad Rasulullah. Sabda Nabi SAW, 
"Barangsiapa membaca dengan ikhlas kalimat laa ilaaha illallah, ia akan masuk surga." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulallah, apa wujud keikhlasannya?" Beliau menjawab, "Kalimat tersebut dapat mencegah dari segala sesuatu yang diharamkan Allah kepada kalian.

4. Keempat, alam akhirat sangatlah gelap. Untuk meneranginya, manusia harus memperbanyak amal soleh. surah Al-Bayyinah ayat 7-8 menyebutkan, orang yang beramal soleh adalah sebaik-baik makhluk, dan balasan bagi mereka adalah surga ‘Adn. Mereka kekal di dalamnya. 

5. Kegelapan kelima adalah sirat (jambatan penyeberang di atas neraka) dan yaqin adalah penerangnya. Yaitu, meyakini dan membenarkan dengan sepenuh hati segala hal yang gaib, termasuk kehidupan setelah mati. Dengan keyakinan itu, kita akan lebih aktif mempersiapkan bekal sebanyak mungkin menuju alam abadi (akhirat). 

Demikian lima wasiat Abu Bakar. Semoga kita dapat memegang kuat lima pelita itu, menerangi kegelapan dan membawa kita ke kebahagiaan abadi di syurga. InsyaAllah...

Tonton Kisah Pemuda Al Kahfi - Part 3



Dari Abu Darda R.A dari Nabi S.A.W berkata: 
“Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal.”
(Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)

Episod 3..Pada zaman mereka.. demi mempertahankan iman mereka, ada yang sanggup mengorbankan harta dan keluarga. Ada juga yang sanggup hingga menggadaikan nyawa mereka sendiri asalkan perjuangan demi agama tauhid terus berjalan dan berkembang.

Bagaimana pula dengan kita? Berapa banyak masa yang kita beri? Berapa ribu harta yang kita salur? Mudah-mudahan Allah S.W.T akan belas amalan kita dengan kemurahan dan kasih sayangNya. 

Silakan tonton filem di bawah ini.. semoga kita semua dapat menyelamatkan iman kita dari fitnah Dajjal laknatullah dalam zaman serba kepayahan..zaman jahiliyah..zaman yang menggigit ini. InsyaAllah.



Tonton Kisah Pemuda Al Kahfi - Part 2


Dari Abu Darda R.A dari Nabi S.A.W berkata: 
“Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal.”
(Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)


Dalam surah ini juga Allah S.W.T. menceritakan tentang pengorbanan para pemuda kahfi ini dalam memperjuangkan agama mereka. 

Mereka menolak segala kesenangan dunia yang telahpun mereka kecapi demi menegakkan kalimah tauhid mereka.



Silakan tonton filem di bawah ini.. semoga kita semua dapat menyelamatkan iman kita dari fitnah Dajjal laknatullah dalam zaman serba kepayahan..zaman jahiliyah..zaman yang menggigit ini. InsyaAllah.



Dosa Yang Lebih Besar Dari Zina


Suatu Senja, seorang wanita melangkah mendekati kediaman Nabi Musa. Setelah mengucapkan salam, dia masuk sambil terus menunduk. Air matanya berderai tatkala berkata,

“Wahai Nabi Allah, tolonglah saya. Doakan agar Allah mengampuni dosa keji saya.”

“Apakah dosamu wahai wanita..?” Tanya Nabi Musa.

“Saya takut mengatakannya,” jawab wanita itu.

“Katakanlah, jangan ragu-ragu..!” desak Nabi Musa.

Maka perempuan itu pun dengan takut bercerita, “Saya telah berzina.”

Kepala nabi Musa terangkat, hatinya tersentak.

“Dari perzinaan itu saya Hamil. Setelah anak itu lahir, saya cekik lehernya hingga dia mati,” lanjut perempuan itu lalu menangis.

Mata Nabi Musa berapi-api. Dengan muka yang berang dia mengherdik, “Perempuan celaka, pergi dari sini. Agar siksa Allah tak masuk ke dalam rumahku. Pergi!!!” teriak nabi Musa sambil berpaling kerana jijik.

Hati perempuan itu bagaikan hancur luluh. Dia menangis tersedu-sedu dan keluar dari Rumah Nabi Musa. Ia tak tahu harus ke mana lagi mahu mengadu. Bahkan dia tak tahu ke mana harus melangkah pergi. Apabila seorang Nabi pun menolaknya, bagaimana manusia lain akan menerimanya?

Sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa. Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya..? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar dari itu..?“

Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu..? Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang hina itu..? “tanya baginda.

“Ada..!!” jawab Jibril dengan tegas. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar daripada seribu kali berzina.”


Mendengar penjelasan ini Nabi Musa memanggil wanita tadi, lalu berdoa memohon keampunan kepada Allah. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa penyesalan adalah seakan menganggap remeh perintah Allah. Sedangkan bertaubat dan menyesali dosa dengan sungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dadanya dan yakin Allah itu ada. Wallahu’alam...

Tonton Kisah Pemuda Al Kahfi - Part 1


Dari Abu Darda R.A dari Nabi S.A.W berkata: 
“Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal.”
(Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)


Rasulullah S.A.W pesan pada kita supaya hafal. Hafal bukan sekadar hafal semata-mata.. tapi untuk kita faham dan kita tiru serta amalkan apa yang para pemuda kahfi lakukan seperti yang Allah S.W.T ceritakan pada kita dalam surah Al Kahfi ini. 

Mereka bukan lari bersembunyi di gua kerana takut kepada pemerintah zalim dan kufur pada zaman mereka, tetapi mereka lari untuk menyelamatkan iman mereka dan tidak mahu dakwah tauhid terkubur dengan kematian mereka.

Silakan tonton filem di bawah ini.. semoga kita semua dapat menyelamatkan iman kita dari fitnah Dajjal laknatullah dalam zaman serba kepayahan..zaman jahiliyah..zaman yang menggigit ini. InsyaAllah.




Terselamat Dari Pancungan Umar


Nasib malang menimpa salah seorang dari musyrikin Quraisy, Hakam bin Kaisan. Kekalahan kelompoknya dalam perang Badar mengubah jalan hidupnya sebagai seorang tawanan dan hampir saja kehilangan kepalanya di tangan Umar. Umar al Khattab berniat untuk memenggal kepala Hakam kerana geram dan tidak dapat menahan sabar menunggu keinsafan orang Quraisy tersebut untuk taat pada ajaran Islam. 

Meskipun sebagai tawanan, Hakam tetap tak beranjak dari pegangan jahiliyahnya. 

”Sebaiknya lepaskan saja ia. Kita serahkan saja kepada Rasulullah,” usul seorang sahabat, Miqdad bin Amr.

Mereka akhirnya sepakat membawa Hakam menghadap Rasulullah SAW. Dalam pertemuan itu, Hakam menerima banyak pelajaran dari Rasulullah SAW sendiri. 

”Ya Rasulallah, untuk apa anda mendakwahinya? Demi Allah, orang ini tidak akan masuk Islam sampai akhir. Biarkan aku memenggal kepalanya supaya ia kembali ke perut neraka Hawiyah,” kata Umar. Rasulullah SAW tak menoleh sedikit pun kepada Umar. Mungkin mengabaikannya. 

Hakam akhirnya benar-benar jatuh hati dengan Islam. Menyaksikan kebijaksanaan Nabi SAW dalam mendakwah Hakam memeluk Islam, Umar pun menyesali perbuatannya. 

”Bagaimana aku sampai membantah Nabi SAW untuk perkara yang sesungguhnya beliau lebih mengetahui?” katanya.

Diriwayatkan, Hakam pernah bertanya kepada Rasulullah, ”Apa itu Islam?” 

”Engkau menyembah hanya kepada Allah SWT, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Engkau bersaksi bahawa Muhammad itu hamba dan utusan-Nya,” jawab Rasulullah. 

”Sungguh aku telah memeluk agama Islam,” jawab Hakam. 

Nabi segera menoleh kepada para sahabatnya. ”Seandainya saja aku memenuhi keinginan kalian (untuk membunuh Hakam) beberapa saat yang lalu, pasti ia sudah masuk neraka.”

Setelah itu, Hakam berubah menjadi muslim yang sangat soleh dan taat. Bahkan Hakam turut berjuang di medan perang bersama Nabi hingga ia wafat sebagai syahid di Bi’r Ma’unah. Bi’r Ma’unah adalah tempat syahidnya 70 sahabat pada bulan Shafar tahun ke-4 Hijriyah. Saat itu, Rasulullah menyatakan rasa duka baginda yang mendalam atas peristiwa memilukan yang menimpa para sahabatnya selama beberapa hari dengan qunut nazilah.

Imam Nawawi Melawan Raja


Di zaman Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf al-Nawawi hidup, atau sekitar abad ke-7 H, sebuah usul kontroversi pernah dikeluarkan oleh pihak penguasa. Negara hendak memungut cukai wajib dari rakyat demi menampung urusan kerajaan. 

Sebagai ulama yang dihormati ramai, Imam Nawawi mendapat panggilan Raja Az-Zahir Berbis, pemimpin pada masa itu. “Tandatanganilah fatwa ini!” perintah Raja kepada Imam Nawawi dengan nada garang supaya beliau mengeluarkan fatwa membenarkan pungutan cukai itu. 

Imam Nawawi faham benar, rakyat pada masa itu sedang dalam kesusahan. Kemiskinan melanda dan kelaparan di mana-mana. Anehnya, para pegawai dan keluarga raja pula hidup mewah, penuh kemudahan, serta gemar berfoya-foya. 

“Tidak!” tegasnya. “Apa alasannya?” tanya raja murka. 

”Fatwa ini akan menyokong kezaliman.” Kemarahan Raja Berbis memuncak. Sambil menoleh kepada para pegawai di sekelilingnya, ia berteriak, ”Pecat dia dari semua jawatannya!” 

Namun, raja terpaksa berputih mata kerana ulama besar dan juga empunya puluhan karya dan kitab itu ternyata tak memiliki jawatan apapun. 

”Kenapa tak memberinya hukuman mati saja?” usul salah satu pegawai. 

“Demi Allah, aku sangat segan padanya.” jawab raja lalu membebaskannya.

 Imam Nawawi termasuk ulama yang berpendirian kuat. Di hadapan penindasan, penentangannya amat keras dan berani meskipun risiko berat akan menghampirinya. Agama memang terlalu suci untuk dijual dengan kepentingan politik, apalagi dengan hal yang menzalimi sesama umat.

Nenek Yang Benci Pada Rasulullah S.A.W.


Di padang pasir yang tandus, seorang perempuan berusia kelihatan sedang berjalan sendirian. Beban berat tergambar jelas di wajahnya. Sengatan matahari gurun dan barang yang dia pikul cukup membuat lutut tuanya semakin lemah. Namun, keadaan ini tak berlanjutan lama. Pucuk dicita ulam mendatang.. Seorang lelaki muda baik hati segera menghampiri dan menawarkan bantuan. Perempuan tua itu pun menyambut tawarannya dengan hati yang senang. 

Sepanjang perjalanan pemuda itu dihujani ceramah. Si nenek rupanya sangat gemar berbual. Si nenek bercerita tentang penolakkanya terhadap dakwah Rasulullah s.a.w. Dia mengingatkannya agar tidak mengikuti jalannya, bahkan berkata. ”Jadi sekali lagi, jangan bercerita apa pun tentang Muhammad!” ujarnya lagi. 

 Si anak muda hanya tersenyum diam tanpa mencelah... Dengan setia, dia mendengar perempuan tua itu bertubi-tubi mencaci-maki Rasulullah s.a.w. Menurutnya, Muhammad adalah seorang yang amat menjengkelkan. Tidak layak keturunan suku terhormat seperti Muhammad memulakan permusuhan. 

 Si nenek terus mengomel. Dia katakan, Muhammad sudah menyesatkan ramai orang, terutama orang-orang fakir dan kalangan hamba. Kaum lemah ini diperdaya oleh ajaran-ajaran palsu yang seolah-olah menjaminkan kebahagiaan. ”Jadi anak muda, jangan sekali-kali bercerita tentang Muhammad!” 

Tanpa terasa tujuan perjalanan si nenek akhirnya sampai. Si nenek sekali lagi menampakkan rasa senang dan syukur atas bantuan pemuda itu. ”Biarlah saya memberi kamu satu nasihat. Jauhi Muhammad!” tambahnya.

Sebelum berpisah, si nenek bertanyakan nama pemuda murah hati yang tulus menolongnya itu. ”Maaf, siapa namamu?” 

”Muhammad.” 

”Siapa?”

”Muhammad.”

Si nenek terpaku sejenak hingga akhirnya memutuskan untuk masuk Islam.. Wallahu'alam.

Golongan Muflis Menurut Rasulullah S.A.W.


Suatu ketika Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat, “Tahukah kalian siapakah muflis itu?”

Para sahabat menjawab, “Yaitu orang-orang yang tidak memiliki satu dinar pun dan tidak pula satu dirham pun ataupun bankrup.”

Rasulullah berkata,

“Bukan itu yang dimaksud sebagai muflis. Orang muflis adalah orang yang ketika hidup di dunia dia banyak melakukan kebaikan, dia solat, zakat, dan juga berhaji. Namun pada saat yang sama ia sering berbuat zalim terhadap orang lain. Sehingga, ketika di akhirat kelak segala amal kebaikannya habis untuk melunasi tuntutan orang-orang yang dianiayanya. Dan ketika tuntutan itu belum selesai, kerana banyaknya orang yang dizalimi sedangkan amal kebaikannya telah habis, maka kesalahan-kesalahan orang-orang itu akan ditimpakan kepadanya. Itulah orang muflis yang akhirnya menderita di akhirat kerana amalnya ketika di dunia sia-sia belaka.”

 Setiap manusia berpotensi untuk melakukan kezaliman terhadap sesamanya. Dan, apabila ia memegang suatu kekuasaan memimpin maka potensi berbuat zalim terhadap sesama semakin besar. Dan semakin tinggi wilayah kuasa seseorang maka potensi berbuat zalim itu pun semakin besar. Kekhuatiran inilah yang ditangkap oleh Khalifah Umar ibn Khattab ketika menerima amanah memimpin kaum Muslimin.

Hari-harinya dilalui dengan amat berat kerana memikul tanggung jawab atas urusan seluruh umat yang apabila ia lalai maka ia telah berbuat zalim terhadap seluruh kaum Muslimin. Rasa khuatir itu pula yang menjadikan air mata Khalifah Umar ibn Abdul Aziz sering tertumpah tatkala diberi amanah memimpin umat. Hari-hari yang dijalani adalah hari-hari yang terasa berat menanggung urusan umat.

Mereka adalah termasuk orang-orang yang khuatir terjerumus ke dalam golongan orang-orang muflis yang merugi di akhirat kelak kerana berbuat zalim terhadap sesama.

Istana Umar bin Khattab


“Dimanakan istana raja negeri ini?” tanya seorang Yahudi dari Mesir yang baru saja tiba di pusat pemerintahan Islam, Madinah. 

 “Lepas Zuhur nanti beliau akan berada di tempat istirahatnya di depan masjid, dekat batang kurma itu,” jawab lelaki yang ditanya. 

 Dalam benak si Yahudi Mesir itu terbayang keindahan istana khalifah. Apalagi umat Islam sedang di puncak jayanya. Tentu bangunan kerajaannya pastilah sebuah bangunan yang megah dengan dihiasi kebun kurma yang rindang tempat berteduh khalifah. 

 Namun, lelaki itu tidak melihat sebarang bangunan yang dibayangkannya. Dia jadi keliru kerana di tempat yang ditunjuk oleh lelaki yang ditanya tadi tidak ada bangunan megah yang mirip istana. Memang ada pohon kurma tetapi cuma sebatang. 

Di bawah pohon kurma, kelihatan seorang lelaki bertubuh tinggi besar memakai jubah kusam. Lelaki berjubah kusam itu nampaknya tidur-tidur ayam atau mungkin juga sedang berzikir. Yahudi itu tidak punya pilihan selain mendekati lelaki yang bersandar di bawah batang kurma, “Maaf, saya ingin bertemu dengan Umar bin Khattab,” tanyanya. Lelaki yang ditanya bangkit, “Akulah Umar bin Khattab.” 

Yahudi itu menegaskan pula, “Maksud saya Umar yang khalifah, pemimpin negeri ini.”

 “Ya, akulah khalifah pemimpin negeri ini,” kata Umar bin Khattab lagi. Mulut Yahudi itu terkunci, takjub. Jelas semua itu jauh dari bayangannya. Jauh sekali kalau dibandingkan dengan para rahib Yahudi yang hidupnya serba mewah. Itu baru kelas rahib, jauh lagi kalau dibandingkan dengan gaya hidup rajanya yang sudah biasa hidup dengan istana serba gemerlap. Sungguh sama sekali tidak terlintas di benaknya, ada seorang pemimpin yang kaumnya tengah berjaya, tempat istirahatnya cukup dengan selembar tikar di bawah pohon kurma beratapkan langit lagi. 

“Di manakah istana tuan?” tanya si Yahudi dengan hairan. Khalifah Umar bin Khattab menuding, “Kalau yang kau maksud kediamanku maka dia ada di sudut jalan itu, bangunan nombor tiga dari yang terakhir.” “Itu? Bangunan yang kecil dan kusam?” “Ya! Namun itu bukan istanaku. Sebab istanaku berada di dalam hati yang tenteram dengan ibadah kepada Allah.” 

Yahudi itu tertunduk. Hatinya yang mulanya panas oleh kemarahan kerana ditimbuni berbagai rasa tidak puas akhirnya cair. “Tuan, saksikanlah, mulai hari ini saya yakini kebenaran agama Tuan. Izinkan saya menjadi pemeluk Islam sampai mati.” Mata si Yahudi itu terasa hangat lalu bergenang. Akhirnya satu-persatu titis air matanya jatuh.


Bahana Hasad


Kisah dari Al Ghazali tentang bahaya hasad..

Alkisah, seorang raja memerintah di suatu negeri. Pada suatu hari seseorang datang ke istananya dan menasihati Raja, “Balaslah orang yang berbuat baik kerana kebaikan yang ia lakukan kepadamu. Tetapi jangan hiraukan orang yang berbuat dengki padamu, kerana kedengkian itu sudah cukup untuk mencelakakan dirinya.”  

Maksud orang itu, hendaklah kita membalas kebaikan orang yang berbuat baik pada kita, namun kita jangan membalas orang yang berbuat dengki dengan kedengkian lagi. Cukup kita biarkan saja. 

Hadir di istana itu, seorang yang pendengki. Setelah orang yang memberi nasihat pergi, ia menghadap raja dan berkata, “Tadi orang itu berbicara padaku, bahawa mulut anda berbau. Jika anda tak percaya, panggillah lagi orang itu esok. Jika ia menutup mulutnya, itu pertanda bahawa ia menghindari bau mulut anda.” 

Raja tersinggung dan berjanji akan memanggil si pemberi nasihat esok hari. Sebelum orang itu dipanggil, si pendengki menghampirinya terlebih dahulu dan mengundangnya untuk makan bersama. Si pendengki memberi orang itu banyak bawang dan makanan yang berbau, sehingga mulut si penasihat menjadi bau. 

Keesokan harinya ia dipanggil Raja dan kembali memberikan nasihat yang sama. Raja lalu berkata, “Kemarilah engkau.” 

Orang yang telah memakan banyak bawang itu lalu mendekati Raja dan menutup  mulutnya sendiri kerana khuatir bau mulutnya akan mengganggu Raja. Melihat orang itu menutup mulutnya, Raja pun menyangka bahawa orang ini sedang menghina dirinya. 

Raja lalu menulis surat dan memberikannya pada orang itu. “Bawalah surat ini kepada salah seorang menteriku,” ucap Raja, “Niscaya ia akan memberimu hadiah.” 

Sebenarnya surat yang ditulis Raja ini bukanlah surat utuk pemberian hadiah.Raja sangat tersinggung, kerana itu ia menulis dalam surat itu, “Hai menteriku, jika engkau bertemu dengan orang yang membawa surat ini, penggallah kepalanya. Kemudian bawalah kepala orang ini ke hadapanku.” 

Pergilah si pemberi nasihat itu dari istana. Di pintu keluar, ia bertemu dengan si pendengki. “Apa yang dilakukan baginda kepadamu?” Pendengki ingin tahu. “Raja menjanjikanku hadiah dari salah seorang menterinya,” ujar si pemberi nasihat sambil menunjukkan surat dari Raja. 

Si pendengki semakin sakit hati, dia ingin mendapatkan hadiah itu. “Kalau begitu biar aku yang membawanya,” kata si pendengki. Akhirnya, orang yang pendengki itulah yang celaka dan mendapat hukuman mati. wallahu'alam...

Negara Islam Terkecil Dengan Rakyat 12 Orang


Pada tahun 621M, iaitu pada bulan Zulhijjah tahun ke-12 selepas ke-Rasulan Nabi Muhammad s.a.w,  seramai 12 orang dari kaum Aus dan  Khazraj telah bertemu dengan pemimpin agung kita untuk melafazkan baiat taat setia pada Rasulullah s.a.w. Antara kandungan baiat mereka adalah :

  • Tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun.
  • Melaksanakan apa yang Allah perintahkan.
  • Meninggalkan apa yang Allah larang.


Bermula saat itu, Rasulullah s.a.w telah pun sah dan secara rasmi menjadi pemimpin, pemerintah, raja, dan juga khalifah di Yastrib yang kemudiannya telah ditukar nama menjadi Madinah walaupun rakyat yang berbaiah pada awalnya hanya sejumlah 12 orang sahaja.

Kemudian melalui dakwah, Kerajaan Islam Madinah terus berkembang sebagai sebuah Daulah Islamiyah yang pertama di muka bumi. 

Jelas, kedaulatan sebuah negara bukan terletak hanya pada jumlah rakyatnya sahaja.. tapi yang lebih penting lagi ialah ketaatan rakyatnya pada pemerintah yang hanya akan mengabdikan diri pada Allah swt dalam segala dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin dan khalifah. 

Kenapa 12 orang itu perlu ke bersusah-susah ke Mekah untuk bersyahadah? Bukankah untuk memeluk Islam mereka hanya perlu melafazkan kalimah syahadah di Yastrib sahaja dengan Allah swt sebagai saksi?

Jawabnya tuan-tuan.... Islam yang sempurna tidak akan dapat kita capai dengan hanya sekadar melafazkan dua kalimah syahadah, tapi perlulah diiringi dengan sumpah taat setia pada pemerintah/khalifah yang Allah swt lantik untuk mentadbir umat manusia menurut Al Kitab dan Al Hikmah.


“Barangsiapa yang mati dan dilehernya tidak ada bai'at maka dia matidalam keadaan jahiliyah.”



 wallahu'alam...

Kalung Fatimah Membuat Rasulullah SAW Marah


Kehidupan Fatimah Az-Zahra r.a bersama Ali kw sangatlah sederhana. Mereka tak memiliki perabot rumah tangga kecuali alat memasak saja. Mereka tak memiliki tilam kecuali sebuah ‘tilam’ tipis terbuat dari jerami gandum yang dibungkus kain kasar. Fatimah pun tak memiliki perhiasan kecuali sebuah kalung emas yang sudah lama dan jarang dipakai.

Suatu hari Fatimah datang berjumpa Rasulullah SAW. Wanita mulia bergelar Az-Zahra itu mengucap salam dan meminta izin untuk masuk. Setelah Rasulullah SAW mengizinkan, betapa bahagianya Fatimah berada di sisi ayahnya. Keduanya berbincang dengan ceria. Wajah keduanya berbinar bahagia, laksana terubatnya kerinduan kerana lama tak berjumpa.

Tiba-tiba, air muka Rasulullah SAW berubah ketika baginda tahu Fatimah mengenakan kalung emas di lehernya. Fatimah faham bahawa ayahnya sedang marah. Fatimah tak dapat berkata apa-apa. Ia keluar dari kediaman Rasulullah SAW dengan kesedihan yang menyesakkan dada. Selama ini Fatimah tak rela jika ada orang yang membuat Rasulullah SAW marah atau sedih. Namun kini, dirinya sendiri pula yang membuat Nabi berduka. Gara-gara kalung emas itu..

Fatimah tak perlu waktu lama untuk membuat keputusan. Kalung itu tak boleh ia pakai lagi, dan tak boleh ia miliki lagi. Lalu apa yang harus dia lakukan? Apakah dijual dan dibelikan hamba agar dapat membantunya? Kerana selama ini Fatimah sendiri yang mencuci, memasak dan menggiling gandum. Sebenarnya keadaan Fatimah amat memenatkan. Namun Fatimah khuatir kalau-kalau Rasulullah SAW tidak berkenan. Apalagi budak itu nanti akan mengingatkan Rasulullah SAW pada kalung itu. Namun akhirnya Fatimah memutuskan menjual kalung itu. Wangnya ia belikan juga hamba, tetapi bukan untuk membantunya. Setelah dibeli, budak itu segera dimerdekakan.


Kini Fatimah kembali menghadap Nabi SAW. Sebelum Rasulullah bertanya, Fatimah mendahuluinya dengan memberikan laporan, “Aku telah menjual kalung itu.” Fatimah berkata kepada Rasulullah yang serius mendengarkannya, “Dan wangnya ku pergunakan untuk membeli hamba yang kemudian kumerdekakan.”
Seketika wajah Nabi SAW berseri-seri. Keceriaan dan kebahagiaan kembali menghiasi wajah Rasulullah SAW yang suci.

Lalu, bagaimana dengan kita, yang selalu mempamerkan perhiasan? Bagaimana dengan cara kita mengawal marah? Bagaimana sikap kita terhadap orang tua kita…?


Saat Khadijah Jatuh Cinta Pada Muhammad SAW


Wanita mana yang tak terpikat oleh pemuda seperti ini? Ia kacak, bijak, keturunan orang terhormat, dan paling mulia akhlaknya di Semenanjung Arab. Menjelang tengah hari, sebuah kafilah dagang dari negeri Syam tiba di Makkah. Tak lama kemudian kafilah dagang itu memasuki kawasan sebuah rumah yang besar.

Dari dalam kelihatan seorang wanita berusia bergegas ke luar dan menyambut kafilah dagang yang sangat dinantikan. Dari mimik mukanya kelihatan raut kegembiraan. Tak lama kemudian, terjadi perbualan antara wanita yang bernama Siti Khadijah itu dengan Muhammad bin Abdullah, pemuda yang memimpin kafilah dagang. Didengarkannya Muhammad berbicara dengan bahasa yang begitu fasih tentang perjalanan dagangnya ke negeri Syam, serta keuntungan yang diperoleh dari perdagangan tersebut. Demikian juga, Khadijah mendengar penjelasan Muhammad tentang barang-barang dari Syam yang berjaya ia bawa dengan kafilahnya. Khadijah sangat gembira dan kelihatan bersemangat mendengar cerita tersebut .

Sesaat kemudian datanglah Maisarah, orang kepercayaan Khadijah yang menyertai Nabi Muhammad berdagang ke Syam. Ia pun menceritakan pengalaman-pengalaman selama perjalanan. Semua yang diceritakan Maisarah makin menambah pengetahuan Khadijah tentang Nabi Muhammad. Khadijah sedia tahu bahawa Nabi Muhammad adalah seorang pemuda yang sangat mulia akhlaknya . Dalam masa yang singkat, rasa simpati yang ada berubah menjadi rasa cinta. Khadijah tertarik untuk menjadikan Muhammad bin Abdullah sebagai pendamping hidup .

Apa yang menyebabkan Siti Khadijah simpati lalu jatuh hati pada pemuda Muhammad? Bukankah Khadijah adalah seorang tokoh wanita terkaya di Makkah saat itu, sedangkan Muhammad hanya seorang pemuda biasa? Mengapa pula Khadijah berani menjadikan Muhammad sebagai suami, bahkan ia yang melamarnya , padahal sebelum ini banyak pembesar Quraisy yang mengajukan lamaran, dan semuanya ditolak?

Ada beberapa faktor penyebab. Pertama, kesepadanan atau kesekufuan . Adalah wajar bila seseorang jatuh cinta pada orang yang mempunyai banyak persamaan dengan dirinya daripada perbezaan. Orang pun akan cenderung memilih pendamping hidup yang sekufu ( setaraf ), baik dari sisi harta, ideologi, gaya hidup, keilmuan, dan personaliti .

Khadijah mencintai Rasulullah SAW, boleh jadi disebabkan Rasulullah SAW mempunyai banyak persamaan dengan dirinya. Khadijah adalah wanita mulia, Nabi Muhammad SAW pun seorang lelaki mulia, sehingga Khadijah pun cenderung memilih pendamping yang akhlaknya mulia . Khadijah adalah seorang usahawan, sedangkan Rasulullah SAW seorang peniaga yang hebat . Rasulullah SAW berasal dari keturunan orang-orang terhormat, begitu juga Khadijah. Kedua watak yang mempunyai banyak persamaan ini jelas lebih mudah bersatu. 

Paras mukanya manis dan indah, tubuh badan yang sedang, tidak terlampau tinggi juga tidak pendek, dengan bentuk kepala yang besar, berambut hitam antara kerinting dan lurus. Dahinya lebar dan rata di atas sepasang alis yang lengkung lebat dan bertaut, sepasang matanya lebar dan hitam, di tepi-tepi putih matanya agak kemerah-merahan, tampak lebih menarik dan kuat, pandangan matanya tajam dengan bulu mata yang hitam pekat. Hidungnya halus dan merata dengan barisan gigi yang bercelah-celah. Berleher agak panjang dan indah. Dadanya lebar dengan kedua bahu yang bidang. Warna kulitnya terang dan jernih dengan kedua telapak tangan dan kakinya yang tebal. Bila berjalan badannya agak condong ke depan, melangkah pantas dan yakin. Air mukanya membayangkan renungan dan penuh fikiran, pandangan matanya menunjukkan kewibawaan, hingga membuat orang patuh kepadanya .

Ketampanan Rasulullah SAW terasa makin lengkap dengan gerak-geriknya yang menawan . Dikisahkan pula oleh Ummu Ma'bad bagaimana sikap beliau, tatkala ia melihat Rasulullah SAW dalam perjalanan hijrah dari Makkah ke Madinah, " Aku melihat seorang lelaki dengan wajah berseri-seri dan bercahaya. Jika ia diam maka tampaklah karismanya. Jika sedang bercakap, ia tampak begitu agung dan santun. Ia kelihatan paling muda dan paling rupawan bila dipandang dari kejauhan, juga paling kacak dan menawan di antara rombongannya. Ucapannya menyejukkan, perkataannya jelas, tidak sedikit dan tidak pula panjang lebar, sebagai buah dari kecerdasan . "

Keindahan perilaku Rasulullah SAW berpunca dari kemuliaan akhlak dan kejernihan jiwa . Inilah faktor ketiga yang membuat Khadijah jatuh cinta. Muhammad adalah pemuda berakhlak mulia. Dengan kurnia Allah SWT, dalam diri baginda terkumpul semua akhlak terpuji yang dikenal manusia, kejujuran, dermawan, ataupun kelembutan. Tak ada satu sisi pun dalam diri baginda tanpa budi pekerti yang luhur . Akhlak Rasulullah SAW adalah sebuah keistimewaan, hingga beliau ' merumuskan ' misi dakwahnya dalam sebuah hadith, " Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia " ( HR Bukhari dan Hakim ) .

Adabnya adalah sifat yang paling menonjol dalam pergaulan baginda dengan para sahabat. Tawaduk, sabar, penyayang, dan mementingkan orang lain serta dermawan adalah sifat peribadinya dan menarik perhatian orang di sekitarnya. Jika bertemu dengan orang yang berbahagia kerana suatu kejayaan, maka ia menggengam tangannya dan ikut merasakan kegembiraan . Jika bersama dengan orang yang tertimpa musibah dan dirundung kesedihan, Rasulullah SAW pun ikut merasakan kesedihan mereka. Beliau sangat perasa dan pandai menghibur. Oleh itu , wanita mana yang tidak terpikat oleh pemuda seperti ini ?


-mahluktermulia-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...