Bahagian-Bahagian Nama Hadith

Hadith-hadith terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya:


  • Hadith mutawatir
  • Hadith masyhur atau mustafidh
  • Hadith sahih
  • Hadith hasan
  • Hadith daif
  • Hadith marfu'
  • Hadith mauquf
  • Hadith mursal
  • Hadith muttasil
  • Hadith mahfuz
  • Hadith jaiyid
  • Hadith mujawwad dan Hadith tsabit
  • Hadith maudu'


1. Hadith Mutawatir

Iaitu hadith "Perbuatan atau perkataan atau pengakuan (taqrir) Nabi saw yang diketahui oleh beberapa orang yang sampai kepada bilangan mutawatir, iaitu bilangan yang tidak mungkin pada fikiran kita bahawa mereka akan bermuafakat berbuat dusta tentang perkhabaran (hadith) itu. Dan dari mereka yang tersebut sampai pula perkhabaran itu kepada orang lain yang dipercayai. Demikianlah pertalian penerimaan turun-temurun itu sampai ke akhirnya."

Contoh hadith mutawatir itu ialah:

"Barangsiapa berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia menempatkan tempat duduknya di dalam neraka." (Riwayat Jama'ah dari Abu Hurairah - hadith ini menurut kata Imam Nawawi diriwayatkan oleh 200 orang sahabat.)




2. Hadith Masyhur atau Mustafidh

Iaitu hadith yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan orang atau hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih kepada tiga orang atau lebih dan begitulah seterusnya hingga dapat sekurang-kurangnya tiga sanad yang berlainan.

Contohnya ialah:

"Orang-orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam dari (bahaya) lidahnya dan tangannya."

Hadis ini diriwayatkan oleh tiga orang Imam hadith dari sanad yang berlainan. Pertama: Imam Bukhari. Kedua: Imam Muslim. Ketiga: Imam Tirmizi.

Sanad Imam Bukhari: ialah Bukhari dari Adam dari Syu'bah dari 'Abdullah B. Abu Safar, dari Al-Sya'bi, dari 'Abdullah Bin 'Amru dari Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Muslim: ialah Imam Muslim dari Sa'id, dan Yahya, dari Abu Burdah dari Abu Burdah, dari Abu Musa dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Tirmizi: ialah Tirmizi dari Qatadah, dari Al-Laith dari Al-Qa'qa', dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Cubalah perhatikan ketiga-tiga sanad tersebut. Di antaranya tidak seorangpun yang sama nama dan orangnya. Abu Burdah dalam sanad Imam Muslim ada dua tetapi orangnya berlainan. Abu Burdah yang pertama itu cucu dari Abu Burdah yang kedua, jadi dengan demikian tidaklah sama.




3. Hadith Sahih

Iaitu hadith yang berhubung sanadnya dari permulaan hingga akhirnya dan orang yang menjadi riwayatnya semuanya mempunyai sifat-sifat ini:

1) Adil
2) Dabid
3) Sejahtera dari keganjilan
4) Sejahtera dari 'illat (kecederaan) yang memburukkan).

(1) 'Adil: Yang dimaksudkan dengan 'adil ialah: Orang Islam, baligh, ber'aqal, tidak mengerjakan dosa besar, tidak pula berkekalan melakukan dosa kecil dan tidak mengerjakan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah atau kehormatan diri.

(2) Dabid: Yang dimaksudkan dengannya ialah: Orang yang cukup kuat ingatan untuk mengingat sesuatu yang didengarnya. Bila sahaja dikehendaki ia dapat mengeluarkannya (menyebutkannya) dari ingatannya dengan mudah. Termasuk kepada pengertian ini apabila ia menulis hadith yang telah didengarnya dan disimpannya serta diyakini benar-benar sahnya sehingga diriwayatkan orang daripadanya.

(3) Sejahtera dari keganjilan: Yang dimaksudkan ialah: Sejahtera riwayatnya dari perbezaan dari riwayat orang-orang yang kepercayaan dengan bertambah atau berkurang pada sanadnya atau matannya.

(4) Sejahtera dari 'illat (kecederaan yang memburukkan): Yang dimaksudkan ialah:

Sejahteranya dari sebab-sebab yang tersembunyi yang dapat memburukkan atau mencacatkan hadith, misalnya; didapati setelah dilakukan penelitian yang mendalam, bahawa di antara seorang perawi (yang meriwayatkan hadith) yang tadinya disangka kuat ingatan, tenyata seorang yang tidak kuat ingatannya.

Hadith sahih boleh dijadikan hujah dalam hukum Islam misalnya ialah:

"Tidak ada sembahyang bagi orang yang tidak membaca Fatihah." (Riwayat Bukhari dari 'Ubadah bin Samit)

"Kalaulah tidak aku menyusahkan atas ummatku nescaya aku perintahkan mereka dengan bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang." (Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah)

"Barangsiapa mengumpulkan (sesuatu barang untuk dijual dengan harga yang lebih mahal) maka ia adalah bersalah." (Riwayat Muslim, Abu Dawud dan Tirmizi)


4. Hadith Hasan

Iaitu hadith yang berhubung (bersambung) sanadnya dan diriwayatkan oleh orang-orang yang 'adil sama seperti hadith sahih, tetapi kurang dabidnya iaitu kurang kekuatan ingatannya (hafaznya) lagi sejahtera dari keganjilan dan kecederaan.

Kekurangan satu syarat itu mengurangkan nilai dan martabat hadith, dan meletakkan tingkatan hadith hasan.

Hadith hasan boleh dijadikan hujah dalam menetapkan sesuatu hukum. Misal hadith hasan ialah seperti misal hadith sahih yang lalu, iaitu hadith:

"Kalaulah tidak aku menyusahkan atas ummatku nescaya aku perintahkan mereka dengan bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang." (Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah)

Hadith ini adalah sahih menurut riwayat Bukhari dari jalan (sanad) A'raj dari Abu Hurairah. Dan hadith ini juga dikatakan hadith hasan menurut riwayat Tirmizi dari jalan (sanad) Muhammad bin 'Amru dari Abi Salamah dari Abu Hurairah.

Adapun sebab hadith ini menjadi hadith hasan kerana menurut riwayat Tirmizi bahawa Muhammad bin 'Amru salah seorang daripada sanadnya tidak mempunyai kekuatan ingatan yang diperlukan dalam syarat hadith sahih.

Lagi misal hadith hasan ialah:

"Sembelihan anak binatang dalam perut ibunya ialah sembelihan ibunya[*]."

[*] Maksudnya: cukuplah sembelihan ibunya sahaja.

Hadith ini diriwayatkan oleh beberapa imam hadith. Dan kalau dilihat dari sanad imam Tirmizi, nyatalah bahawa di antara beberapa orang sanadnya ada seorang yang benama Mujalid. Ia seorang yang lemah. Begitu pula kalau dilihat dari sanad Imam Hakim (dalam kitabnya al-Mustadrak) maka teranglah bahawa di antara beberapa orang sanadnya ada seorang yang benama Abu Laili. Ia seorang ulama' fiqh dan qadi hadith tersebut dengan sendirinya telah menjadi hadith hasan.




Istilah Yang Dipakai Untuk Martabat Hadith-Hadith Sahih

Menurut yang diistilahkan dalam ilmu ini, bahawa apabila satu hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sanad mereka masing-masing maka dinamakan hadith tersebut: (riwayat Bukhari dan Muslim). Dan apabila hadith yang satu itu diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sanad yang satu yang bersamaan qaul dan matan dan sanadnya, maka hadith itu dinamakan: Hadith Muttafaqun 'Alaih, ertinya: yang disetujui keduanya atasnya.

Hadith seperti ini, iaitu (yang disetujui keduanya atasnya) adalah setinggi martabat hadith, yang diutamakan dan didahulukan waktu mengambil dalil satu-satu hukum daripada yang lainnya.

Ulama' hadith telah membahagikan hadith sahih kepada tujuh bahagian.

1. Hadith sahih yang disetujui keduanya, iaitu keduanya meriwayatkan dengan sanad yang satu. Ini yang dinamakan muttafaqun 'alaih.

2. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari sendiri.

3. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim sendiri.

4. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith (selain keduanya) dengan sanad sepakat antara keduanya. Ini yang dinamakan yang dipersetujui oleh keduanya.

5. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Ulama' hadith dengan sanad Bukhari menurut syarat-syarat yang dipakai Bukhari sendiri dalam kitabnya. Ini yang dinamakan menurut syarat Bukhari.

6. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith dengan sanad Muslim atau menurut syarat-syarat yang dipakai Musllm sendiri. Ini dinamakan menurut syarat Muslim.

7. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith selain Bukhari dan Muslim.

Dengan memerhatikan bahagian-bahagian ini tahulah kita bahawa hadith sahih itu bertingkat-tingkat martabatnya dan kedudukannya diutamakan dari yang lainnya dan apabila ditemui hadith lain yang bertentangan maksudnya dengan hadith sahih, maka hadith sahih inilah yang didahulukan dan diamalkan.

HADITH HASAN SAHIH

Dalam kitab-kitab hadith seperti kitab Sunan Tirmizi dan dalam kitab ini (Hadith Empat Puluh) ada didapati di akhir hadith perkataan "Hasan Sahih" ertinya hadith ini hasan lagi sahih. Dengan demikian bermakna hadith itu mempunyai dua martabat: pertama hasan dan kedua sahih.

Menurut keterangan ulama' hadith, bahawa hadith tersebut dikatakan hasan menurut perhitungan atau penilaian pada satu sanadnya. Dan dikatakan pula sahih padanya menurut perhitungan atau penilaian pada sanadnya yang lain. Ini jika pada hadith itu ada sanadnya (jalannya).

Jika pada hadith itu satu sanadnya, maka erti hasan padanya menurut pandangan segolongan ulama' hadith dan sahih menurut pandangan ulama' yang lain, yang tidak sama tinjauan terhadap sifat dan peribadi orang yang menjadi rawinya atau yang memindahkannya.




5. Hadith Daif

laitu hadith yang tidak mempunyai syarat hadith sahih dan tidak pula syarat hadith hasan, misalnya: rawinya (orang yang meriwayatkannya) bukan orang Islam, belum lagi baligh, tidak pula diketahui orangnya atau sifatnya, tidak bagus ingatannya kerana selalu lupa, tidak benar percakapannya, tetapi pernah berdusta, serta tidak menjauhi dari melakukan dosa dan perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan maruah atau kehormatan peribadinya, ditambah lagi riwayatnya menyalahi riwayat orang yang lebih masyhur daripadanya.

Hadith da'if mempunyai martabat yang berlainan; ada yang terlampau lemah, dan ada yang lemah, menurut keadaan sanad dan matannya. Di antara hadith da'if ialah hadith munqati', mu'addal, syaz, muddarab.

Misal hadith da'if ialah:

"Barangsiapa berkata kepada orang miskin, bergembiralah engkau! Maka sesungguhnya wajiblah (tetaplah) syurga baginya." (Riwayat Ibn 'Adi)

Dalam riwayat hadith ini, ada seorang bernama 'Abdul Malik bin Harun yang dituduh pendusta. Kerana ini hadith tersebut dipandang da'if.

"Menuntut ilmu adalah fardu atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan wanita." (Riwayat al-Baihaqi Ahmad dari Anas)

Imam al-Baihaqi berkata: Hadith ini masyhur di antara manusia tetapi sanadnya lemah dan telah diriwayatkan menerusi jalan yang banyak yang kesemuanya lemah belaka.

Sementara itu Imam Nawawi telah pula berkata: Hadith itu da'if (lemah) sekalipun maknanya sahih (betul) dan telah diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dalam Masnadnya dengan sanadnya sekali dari Anas dan Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam. Dalam sanadnya itu terdapat seorang benama Hafsin bin Sulayman, ia orang yang lemah.

"Makhluq itu keluarga Allah, dan mereka yang lebih kasih kepada Allah ialah mereka yang lebih bermanfa'at kepada keluarganya."

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dari riwayat Yusuf bin 'Atiyyah dari Thabit dari Anas dari Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam. Yusuf bin 'Atiyyah adalah orang yang lemah, kerana ini hadithnya adalah hadith yang lemah.


Hukum Meriwayatkan Dan Mengamalkan Hadith Daif

Sebahagian Ulama' membolehkan kita meriwayatkan hadith da'if dengan tidak menerangkan keda'ifannya dalam perkara yg berhubungan dengan kisah atau cerita, pengajaran atau nasihat dan yg bertalian dengan keutamaan amal (Fadail al-‘amal) itu sahaja, dan tidak dalam perkara yg berhubungan dengan i'tiqad dan dengan hukum halal, haram, makhruh, sunat. Demikian menurut pendapat sebahagian Ulama' mengenai hukum meriwayatkan hadith da'if.

Seterusnya mereka sepakat menetapkan bahawa tidak boleh sama sekali kita mengamalkan hadith da'if untuk menetapkan sesuatu hukum halal-haram, hukum jual-beli, hukum perkahwinan, talaq dan lain-lain.

Imam Bukahri, Muslim dan Abu Bakar Ibn al-'Arabi menetapkan bahawa tidak boleh kita mempergunakan hadith da'if untuk segenap pekerjaan, untuk segala keperluan walaupun untuk menerangkan keutamaan sesuatu ‘amal, supaya tidak ada orang yg mengatakan kepada Rasulullah saw perkataan yg tidak baginda
katakan, dan supaya tidak ada orang yg meng'itiqadkan sunat sesuatu perkara yg tidak disunatkan.

Sementara itu Imam Nawawi dalam keterangannya mengenai hadith da'if berkata: "Bahawa Ulama' hadith, fiqh dan lain-lain telah menetapkan bahawa boleh kita mempergunakan hadith da'if untuk ‘amal-'amal utama (Fadail ‘amal) dan untuk pengajaran menggemarkan dan menakutkan, selama hadith itu belum sampai ke darjat maudu' (palsu).


Ibnu Hajar Al-Asqalani  dalam keterangannya mengenai keharusan memakai dan menggunakan hadith da'if telah menetapkan beberapa syarat:

1. Hadith itu tidak terlampau da'if. Yang demikian, hadith daripada periwayat yang dituduh dusta, ditolak sama sekali.

2. Memakai atau menggunakan hadith itu adalah tidak berlawanan dengan hukum atau ia tidak masuk kepada hukum yang tidak mempunyai asal.

3. Jangan beriktikad bahawa nabi saw ada mengatakan dalam menggunakan hadith da'if supaya terpelihara dari menyandarkan sesuatu kepada nabi saw apa yang baginda tidak kerjakan atau sabdakan.




6. Hadith Marfu'

Hadith yang disandarkan kepada nabi saw, samaada perkataan, perbuatan, mahupun takrir (pengakuan) baik yang berhubung sanadnya atau pun tidak. Misalnya:

Berkata Ibnu Mas'ud: "Rasulullah mengutuk orang yang menghalalkan  dan orang yang dihalalkan untuknya." (Riwayat Ahmad bin Hanbal, Nasai, dan Tarmizi dari Ibnu Mas'ud)




7. Hadith Mauquf

Fatwa atau perkataan para sahabat sendiri, yang diriwayatkan kepada kita dan ia terhenti pada sahabat, tidak pada nabi saw. Misalnya seorang sahabat berkata: "Tidak ada iman bagi mereka yang tidak ada malu baginya."




8. Hadith Mursal

Perkataan seorang tabi'i apabila ia berkata: ( Telah bersabda nabi saw: .......................................)
Maka yang ia riwayatkan itu dinamakan hadith mursal iaitu dilangsungkan atau diteruskan kepada nabi saw tanpa melalui sahabat. Misalnya seorang tabi'i telah berkata: 

(Berkata rasulullah saw: "Perbezaan antara kita  dan antara orang-orang munafik ialah orang-orang munafik itu tidak kuasa (malas) mengerjakan solat isya dan subuh" )




9. Hadith Muttasil

Hadith yang berhubung sanadnya. Tiap-tiap orang yang meriwayatkannya mendengar terus daripada orang yang meriwayatkannya hingga sampai pada nabi saw atau pada sahabat.

 Misalnya: "Tiada beriman seorang kamu sehingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya." ( Riwayat Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik dari nabi saw.)




10. Hadith Mahfuz

Hadith yang terpelihara, iaitu periwayatnya orang yang dipercayai dan tidak menyalahi kepercayaan golongan lain dengan menambah atau mengurang. Misalnya:
"Didirikan islam atas lima rukun............." (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar Al Khatab)




11. Hadith Jaiyid

Hadith yang dikatakan baik dan sahih oleh ahli-ahli hadith.




12. Hadith Mujawwad Dan Tsabit

Hadith yang meliputi hadith sahih dan hadith hasan (nama lain bagi hadith hasan dan sahih) 
Misalnya:
"Tinggalkan apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau....." (Riwayat Tarmizi dan Nasai. Hadith ini hasan dan sahih.)




13. Hadith Maudu' (Palsu)

Selepas tahun 40 hijrah, timbullah hadith-hadith palsu iaitu sebaik saja terjadinya fitnah di akhir zaman khalifah Uthman. Umat islam pada masa itu berpecah kepada beberapa golongan:

1. Golongan Ali yang kemudian dinamakan syiah.
2. Golongan Khawarij, yang menentang Ali dan Muawiah.
3. Golongan yang memegang tampuk pemerintahan.

Atas dasar ingin mempertahankan pihak masing-masing, mereka mengada-adakan hadith palsu dan menyebarkannya ke dalam masyarakat. Golongan yang memulakannya ialah golongan syiah sebagaimana yang diakui sendiri oleh ketua mereka yang bernama Ibnu Abi Hadid: "Kota-kota di Iraq ialah satu-satunya kota yang mula-mula mengeluarkan dan mengembangkan hadith-hadith palsu itu, kerana kaum syiah tinggal di kota-kota itu."  Imam Zuhri berkata: "Keluar hadith dari kami sejengkal, lalu kembali padakami dari Iraq sehasta." 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...