Saf Dalam Solat


SAF DALAM SOLAT: Perkataan Saf diambil dari bahasa arab ( صف ) yang bererti barisan. Saf dalam solat akan terbentuk apabila dalam mengerjakan solat berjamaah terdapat imam dan berapa orang makmum. Maka orang-orang yang berada di belakang imam hendaklah membentuk saf ataau barisan yang teratur dan memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadits-hadits baginda.



Sebaik-baik Saf Dan Keutamaan Saf

Diriwayatkan dari Jabir bin Samirah ia berkata, “Rasulullah bersabda, “Tidakkah kalian ingin berbaris, sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Rabb mereka.” Maka kami bertanya, “Bagaimanakah para malaikat berbaris di hadapan Rabb?’ Beliau menjawab, “Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling merapat di dalam saf..”
(HR Muslim, no. 430)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seandainya orang-orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 615. Muslim, no. 137)
“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas barisan (saf) yang pertama atau saf yang awal.” (Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/197)





Menyempurnakan Saf Yang Hadapan Dahulu

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sempurnakanlah saf pertama, kemudian saf berikutnya. Jika kurang (saf pertama telah penuh/tidak mencukupi), maka hendaklah ia mengambil saf yang belakang.”
(HR an-Nasa’i, 2/93)

Barisan itu dimulai dari tengah di dekat posisi imam. Barisan sebelah kanan lebih afdhal daripada barisan sebelah kiri. Yang wajib dilakukan adalah tidak dimulakan membuat barisan baru sehinggalah barisan pertama sempurna. Tidak ada masalah jika orang-orang yang berada di sebelah kanan barisan lebih banyak dan tidak perlu dilakukan penyeimbangan kerana perkara tersebut bertentangan dengan sunnah. Hanya saja, tidak diperbolehkan membuat barisan kedua sehingga barisan pertama sempurna dan tidak boleh juga membuat barisan ketiga hingga barisan kedua sempurna. Begitu jugalah barisan yang seterusnya.

Pahala solat akan dikira berdasarkan kedudukan seseorang di dalam saf. Pahala paling besar bagi makmum dibelakang imam kemudian semakin kecil kekanan sehingga akhir, lalu diambung pula dengan makmum belakang imam kekiri sehingga akhir. Walaubagaimanapun pahala bagi jamaah di saf pertama lebih besar bezanya dengan saf kedua, sehingga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya, sekiranya umatku tahu besarnya pahala solat pada saf pertama nescaya mereka akan mengandakan undian.
Berbeza pula dengan jamaah wanita, saf yang terkebelakang lebih besar pahalanya dari saf yang paling dekat dengan imam.





Posisi Makmum di Dalam Solat

A – Kedudukan Saf Secara Umum Bagi Lelaki Dan Wanita.

Dari Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan seburuk-buruknya adalah yang paling belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah yang paling hadapan.”
(HR Muslim, no. 440)

1 - Imam
2 - Makmum Lelaki
3 - Kanak-Kanak Lelaki

4 - Makmum Wanita
5 - Kanak-Kanak Perempuan



B – Apabila solat berjamaah mengandungi dua orang lelaki, iaitu seorang imam dan seorang makmum.
Apabila imam solat berjamaah hanya dengan seorang makmum, maka dia (makmum) disunnahkan berdiri di sebelah kanan imam (sejajar dengannya), sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau pernah solat berjamaah bersama Rasulullah pada suatu malam dan berdiri di sebelah kirinya. Maka Rasulullah memegang kepala Ibnu Abbas dari belakang lalu memindahkannya ke sebelah kanannya.
(HR Muslim, No. 763. Bukhari, no. 183)

Di dalam kitab Subulus Salam (oleh al-Imam ash-Shan’ani), Diriwayatkan bahawa Ibnu Juraij pernah bertanya kepada Atha' (seorang tabi'in), “Seseorang yang menjadi ma’mum bagi seseorang yang lain, dimanakah ia (ma’mum) harus berdiri?” Jawab Atha’, “Di tepinya”. Ibnu Juraij bertanya lagi, “Apakah si Ma’mum itu harus dekat dengan Imam sehingga ia satu saf dengannya, iaitu tidak ada jarak antara keduanya (ma’mum dan imam)?" Jawab Atha’: “Ya!” Ibnu Juraij bertanya lagi, “Apakah si ma’mum tidak berdiri jauh sehingga tidak ada jarak antara mereka (ma’mum dan imam)? Jawab Atha’: “Ya”.

Demikian juga yang disebutkan di dalam al-Muwaththa’, 1/54. Dari Umar dari hadis Ibnu Mas’oud. “Sesungguhnya ia berada satu saf bersama Umar, lalu merapatkan safnya hingga bahu Umar bersentuhan di sisi kanannya.” (Lihat: Subulus Salam, jilid 1, m/s. 651).”

Maka, kedudukan imam adalah di sebelah kiri makmum, dan makmum di sebelah kanan imam dalam keadaan satu barisan (satu saf) sebelah menyebelah.
1 - Imam (Kiri),
2 - Makmum (Kanan)

Tetapi mengikut Mazhab Syafi'e, jika makmum hanya seorang lelaki sahaja, maka tempatnya di sebelah kanan Imam tetapi lebih kebelakang dari imam walaupun hanya sedikit. Ini bermakna makmum hendaklah tidak berada dihadapan Imam atau sebaris dengan imam, jika makmum berada selari atau sebaris dengan imam tanpa perbezaan maka hukumnya MAKRUH. ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:


إِنَّما جُعِلَ الإمامِ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Imam dijadikan untuk diikuti. (HR Bukhari 657 dan Muslim 411)
Maka diikuti tidak akan berlaku melainkan orang yang mengikut berada di belakang. Jika datang makmum yang kedua maka jika disedari atau diajak oleh makmum kedua hendaklah dia turun membentuk satu barisan di belakang Imam. Makmum kedua hendaklah berada betul-betul dibelakang Imam dan makmum pertama berada dikanannya. Jika datang makmum yang ketiga hendaklah dia berada di sebelah kanan Imam dalam barisannya.


C – Solat dengan dua orang makmum (atau lebih) bersama imam.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah al-Anshaari:
“… Rasulullah s.a.w. berdiri untuk menunaikan solat, lalu akupun datang dan berdiri di samping kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakr r.a., ia berwudhu’ lalu mengikuti solat kami, ia berdiri di samping/sebelah kiri Rasulullah. Beliaupun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau...” (HR Muslim, no. 3006)

Jika tiga orang makmum atau lebih solat bersama imam, maka mereka berdiri di belakang imam menurut kesepakatan para ulama. Hadis-hadis yang menyebutkan tentang masalah ini terlalu banyak untuk disebutkan satu persatu. Makmum tidak boleh berada di depan imam, kerana tidak sah bermakmum bersama seorang imam kecuali jika imam tersebut berada di depan mereka atau selari. Jumhur ulama berpendapat, barangsiapa berada di depan imam maka batal solatnya. Imam Malik, Ishaq, Abu Tsaur dan Daud membolehkannya, jika tempat terlalu sempit. (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil. 2, hal. 239, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

D – Solat seorang wanita bersama imam lelaki.

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w., dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami.
(HR Bukhari, no. 727)

Jika seorang lelaki dan seorang wanita solat bersama imam maka lelaki berdiri sejajar di sebelah kanan imam, sementara wanita ber-saf sendirian di belakang keduanya.

Diriwayatkan dari Anas, “Bahawa Rasulullah s.a.w. mengimaminya, dan seorang wanita bersama mereka, maka beliau menempatkannya di sebelah kanannya, dan wanita tersebut di belakang mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 269) (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil.2, hal. 240, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

Imam Ibnu Abdil Barr rahimahullah berkata, “Para ulama bersepakat bahawa seorang wanita itu solat di belakang seorang lelaki dalam satu barisan. Yang disunnahkan adalah mengambil posisi tepat di belakang laki-laki, bukan di sebelah kanannya.” (al-Mughni, Ibnu Qudamah, 3/53-54)

Seorang lelaki boleh menjadi imam solat bagi isterinya atau salah seorang mahramnya. Dan tidak boleh seorang lelaki mengimami seorang wanita asing (bukan mahramnya) seorang diri, berdasarkan keumuman hadis berikut:

“Tidak boleh bagi seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (HR at-Tirmidzi, no.. 1171)

Seorang lelaki boleh mengimami sejumlah wanita. Akan tetapi hal ini dibolehkan apabila aman dari fitnah. Dan jamaah wanita hendaklah berada jauh daripada Imam.




1 - Imam (Depan),
2 - Makmum Wanita (Belakang)
1 - Depan - Imam (Kiri), Makmum Lelaki (Kanan),
2 - Belakang & Tengah (Saf Wanita)

E – Solatnya seorang wanita bersama kaum wanita yang lain.Diriwayatkan dari Hajirah, dari Ummu Salamah, “Bahawa ia mengimami mereka, dan ia berdiri di tengah-tengah mereka.” (Hadis Riwayat Abdurrazzaq, 3/140) Jika seorang wanita solat mengimami jamaah kaum wanita, maka ia berdiri di tengah-tengah mereka dalam keadaan satu barisan (saf) bersama yang lainnya. Hendaklah ia tidak maju (mengambil posisi ke hadapan).

F – Posisi kanak-kanak dalam saf solat berjemaah.Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami.
(HR Bukhari, no. 727)

Berkenaan dengan hadis ini, al-Imam ash-Shan’ani menyatakan, “Dan posisi makmum yang terdiri dari dua orang adalah di belakang imam, dan anak kecilpun turut diambil kira keberadaan tempat duduknya (bersama saf lelaki dewasa – pen.) dan dapat melengkapkan barisan saf. Dalam hadis disebutkan lafaz yatim, ini menunjukkan anak kecil, kerana tidak disebut sebagai yatim bagi yang telah baligh.
(Rujuk: Subulus Salam, jil. 1, m/s. 652)

Menurut al-Albani: Tidak mengapa anak-anak berdiri di saf kaum lelaki dewasa, jika saf tersebut masih ada ruang. Dan solatnya kanak-kanak lelaki yatim bersama Anas di belakang Rasulullah s.a.w. adalah hujjah dalam masalah ini (saf kanak-kanak adalah bersama saf lelaki dewasa). (Rujuk: Tamamul Minnah, m/s. 311)

G – Solat di samping (sebelah) imam kerana saf sudah penuh.

Barangsiapa memasuki masjid dan ia mendapati masjid sudah penuh dan saf-saf sudah sempurna, maka dia boleh membelah saf dan berdiri di samping imam. Ini adalah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w. di ketika beliau sakit. Daripada Aisyah r.ha, dia menyatakan, “Nabi s.a.w. dalam sakitnya yang mengakibatkan beliau wafat, ketika merasa lebih baik, beliau keluar dan mendapatkan Abu Bakar sedang solat bersama yang lain. Ketika Abu Bakar melihat beliau, ia ingin mundur, maka beliau (Nabi s.a.w.) mengisyaratkan kepadanya agar tetap di posisinya/tempatnya semula. Lalu Rasulullah s.a.w. dipapah oleh dua orang sehingga beliau duduk sejajar di sebelah kiri Abu Bakar r.a.. Maka, Abu Bakar mengikuti solat Rasulullah s.a.w., sedangkan orang-orang mengikuti solat Abu Bakar.”
(HR Muslim, no. 418)

Perintah Dan Tuntutan Merapatkan dan Meluruskan SafPersoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid sekeliling kita. Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata, dan lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil endah berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan atsar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

Meluruskan dan merapatkan saf (barisan) dalam solat berjamaah adalah merupakan suatu hal yang sangat diperintahkan (dituntut), sebagaimana di dalam hadis Nabi s.a.w., (maksudnya), “Luruskan saf-mu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat”. (Hadis Riwayat Muslim, no. 433)

Dalam Riwayat yang lain, “Sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari mendirikan solat.” (HR Bukhari, no. 722. Muslim, no. 435)

“Sesungguhnya menegakkan saf (meratakan saf), adalah sebahagian dari kebaikan solat.”
(HR Bukhari, no. 723)

Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm, merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajiban. Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu menghadap kepada jamaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.

Umar bin Khaththab r.a. pernah memukul Abu Utsman al-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang dikatakan oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Rujuk Fathul Bari, 2/447).

Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, “Apa yang engkau ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?” Dia menjawab, “Tidak ada perbuatan kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf kalian.”
(HR Bukhari di dalam Sahihnya, no. 724)

Bahkan Rasulullah s.a.w. sebelum memulakan solat, beliau berjalan merapikan saf dan memegang dada dan bahu para sahabat lalu bersabda, “Hendaklah kalian meluruskan saf-saf kalian atau Allah akan membalikkan wajah-wajah kalian.”
(HR Bukhari, no. 717, Muslim, no. 436)

Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a.. dia berkata, “Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, memegang dada dan bahu kami seraya bersabda, “Jangan lah kalian berbeza (tidak lurus safnya), kerana akan menjadikan hati kalian berselisih.” (HR Muslim)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:
“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (HR Muslim, no. 436)

Sedangkan hadis yang diriwayatkan dari Anas r.a., Beliau bersabda, “Luruskan dan rapatkan saf-saf kalian, kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari balik punggungku.” (Diriwayatkan oleh Abu Ya’la di dalam al-Musnad, no. 3720, al-Mukhlis di dalam al-Fawaid (1/10/2),

Sa’id ibn Manshur di dalam al-Sunan, dan al-Ismaili sebagaimana di dalam Fathul Bari (2/211). Sanad hadis ini adalah sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim seperti disebutkan di dalam al-Silsilah as-Sahihah)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan.” (Rujuk: Fathul Bari 2/443)

Pendapat ini juga didukung oleh Imam al-Nawawi, beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika ber-saf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati.”

Sementara Qadhi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan “Allah akan mengubah hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan mengubah wajah mereka)”. Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (i’tidal), maka Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai. Imam al-Kirmani menyimpulkan, “Akibat dari pertentangan dan perbezaan di dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga perbezaan balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan safnya.”

Berdiri di dalam saf bukan hanya sekadar berbaris lurus, tetapi juga dengan merapatkan kaki dan bahu antara satu dengan yang lainnya seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.” (HR Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (HR Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97)

Bahkan sehingga ada sebahagian ulama yang mewajibkan hal itu. Sesungguhnya ancaman seperti ini tidak boleh dikatakan termasuk perkara yang tidak diwajibkan, sebagaimana tidak samar lagi. Akan tetapi sungguh amat sangat disayangkan, sunnah meluruskan dan merapatkan saf ini telah diremehkan bahkan dilupakan kecuali oleh segelintir kaum muslimin.

Menurut Sheikh Masyhur Hasan Salman (Rujuk: Koreksi Total Ritual Solat, oleh Sheikh Masyhur Hasan Salman, m/s. 212-231): Apabila jamaah solat tidak melaksanakan sebagaimana yang dilakukan oleh Anas dan al-Nu’man maka akan selalu ada celah dan ketidaksempurnaan dalam saf. Dan pada kenyataannya (kebanyakannya) para jemaah solat apabila mereka merapatkan saf maka akan luaslah saf (menampung banyak jemaah) khususnya saf pertama kemudian yang kedua dan yang ketiga. Apabila mereka tidak melakukannya, maka:

Pertama: Mereka terjerumus ke dalam suatu bentuk larangan syar’i, iaitu tidak meluruskan dan merapatkan saf.

Kedua: Mereka menyediakan celah untuk syaitan dan Allah akan memutuskan mereka, sebagaimana hadis dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Tegakkan saf-saf kalian dan rapatkan bahu-bahu kalian dan tutuplah celah-celah dan jangan kalian tinggalkan celah untuk syaitan, barangsiapa yang menyambung saf nescaya Allah akan menyambungnya dan barangsiapa memutuskan saf nescaya Allah akan memutuskannya.” (HR Abu Daud, no. 666 di dalam Sunannya. Disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim)

Ketiga: Terjadi perselisihan dalam hati-hati mereka dan timbul banyak pertentangan di antara mereka, sebagaimana dalam hadits an-Nu’man terdapat faedah yang menjadi terkenal dalam ilmu jiwa, iaitu sesungguhnya rosaknya zahir mempengaruhi rosaknya batin dan begitu jugalah sebaliknya. Di samping itu bahawa sunnah meluruskan dan merapatkan saf menunjukkan rasa persaudaraan dan saling tolong-menolong, sehingga bahu si miskin menempel dengan bahu si kaya dan kaki orang lemah merapat dengan kaki orang kuat, semuanya dalam satu barisan seperti bangunan yang kuat, saling menopang satu sama lainnya.

Keempat: Mereka kehilangan pahala dan fadhilat yang besar yang dikhabarkan melalui hadis-hadis yang sahih, di antaranya sabda Nabi s.a.w., “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
(HR Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim.)


Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul1 – Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadis berikut:
“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Kitab Azan, no. 76. Abu Daud, no. 616)

2 – Meratakan/meluruskan telapak kaki dengan talapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.
“Dari Anas bin Malik r.a. berkata, “(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.”
(HR Bukhari, no. 725)

“Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud)

Baginda s.a.w. juga mengarahkan jari jemari kakinya ke arah kiblat.
(Rujuk: Tuntutan Rasulullah Dalam Ibadah, hlm. 19. Ibn Qaiyyim al-Jauziyah)


CARA BETUL - Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)




CARA SALAH - Kaki tidak lurus ke hadapan

3 – Menutup ruang/celahan di antara saf.

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97).

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.”
(HR Abu Daud, no. 667.)

4 – Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang baik/betul.

Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda: "Wahai pra hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian". (HR Muslim, No. 436)
Kedudukan/susunan Saf Yang Betul Dan RapiSaf yang sama dikira dari keselarian pada tumit bukan sama pada hujung jari. Sama dalam saf solat tidak sebagaimana sama barisan dalam pembarisan tentera.
Dan inilah cara yang betul dalam susunan dan kedudukan saf dalam solat berjamaah.
Kedukan/Susunan Saf Yang Salah yang mana banyak terjadi di sekeliling kita masa ini





Larangan Membuat Saf Sendirian

Seorang makmum dilarang membuat saf sendirian, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Wabishah bin Mi’bad, bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seseorang solat di belakang saf sendirian, maka beliau memerintahkan untuk mengulang solatnya.
(HR Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi)
Menurut Sheikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin (rujuk: asy-Syarhul Mumti’, 4/376-385), jika seseorang menjumpai saf yang sudah penuh, sementara ia sendirian dan tidak ada yang ditunggu, maka boleh baginya solat sendiri di belakang saf itu.

Sebaik-baik memulakan saf ialah dibekalang Imam hingga ke kanan, kemudian dikiri hingga penuh. Elakkan dari memulakan sah dihujung mana-mana bahagian, kerana menyusahkan orang yang datang kemudian untuk menyambung saf yang jauh.

Untuk menjaga keutuhan, seseorang dibolehkan untuk maju atau bergerak ke hadapan ketika mana mendapati ada saf di hadapannya yang terputus. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah, beliau bersabda, “Barangsiapa yang memenuhi celah yang ada pada saf maka Allah akan mengampuni dosanya.”
(HR al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Tiada langkah paling baik melebihi yang dilakukan oleh seseorang untuk menutupi celah di dalam saf. Dan semakin banyak teman dan saf dalam solat berjamaah akan semakin afdhal, sebegaimana yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Solat seorang bersama seseorang lebih baik daripada solat sendirian, dan solat bersama dua orang lebih baik dari solat bersama seseorang. Dan bila lebih banyak maka yang demikian lebih disukai oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Muttafaq ‘Alaih)



Jarak Antara Imam dan Makmum

Mengikut Mazhab Syafi'e, sekiranya:

1. Imam dan Makmum berada di kawasan lapang seperti padang yang luas maka jarak antara keduanya tidak melebihi 300 Hasta Hasyimi atau lebihkurang 150 meter atau 490 kaki.

2. Jika Imam berada di dalam masjid dan setengah makmum berada diluarnya, maka disyaratkan jarak antara hujung masjid dengan makmum saf pertama diluar tidak melebihi 300 hasta hasyimi. Manakala makmum dapat melihat sekurang-kurangnya kepala imam.
Diriwayatkan dari Aisyah, dia berkata, “Rasulullah s.a.w. solat pada malam hari di kamarnya. Sementara dinding kamar itu pendek, sehingga orang-orang dapat melihat Nabi s.a.w.., maka sejumlah orang berdiri mengikuti solatnya...”
(HR Bukhari, no. 729)




Memasuki Saf Dalam Keadaan Tenang

Dan ketika memasuki saf untuk solat disunnahkan untuk melakukannya dengan tenang iaitu tidak terburu-buru, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah, bahawasanya ia solat dan mendapati Nabi sedang ruku’ lalu dia ikut ruku’ sebelum sampai kepada saf, maka Nabi berkata kepadanya, “Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat (kemahuan), tetapi jangan kamu ulangi lagi.” (Hadis Diriwayatkan oleh Bukhari)

Dan dalam Riwayat Abu Daud, ada tambahan, “Ia ruku’ sebelum sampai di saf lalu dia berjalan menuju saf.”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget