Teman Pendamping




Qarin ialah perkataan Arab yang bermakna teman atau rakan. Istilah qarin di sini bermaksud roh-roh jahat dari kalangan makhluk-makhluk halus yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. 

Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal yang buruk, dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. 


Qarin sentiasa berusaha untuk menjerumuskan manusia dengan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyal qarin sama ada ia nabi atau orang yang alim.

Al-An'am ayat 112 Allah s.w.t. berfirman:

Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.


Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan scorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan.



Di bawah ini ada lagi dua buah hadis untuk menguatkan keterangan tentang ada qarin yang menemani setiap manusia.

Telah berkata Ummul Mukminin As-Sayyidah Aishah binti As-Siddiq:
Bahawasanya Rasulullah s. a. w telah keluar dari sisinya pada satu malam, tiba-tiba berlakulah satu tiupan (syaitan) terhadapnya. Maka Rasulullah pun datang melihat perkara yang sedang saya lakukan. Baginda bertanya: Apakah yang terjadi Aishah? Maka saya menjawab: Apa halnya saya, tidak diberi daya sebagaimana yang dikurniakan kepada engkau? Jawab Rasulullah s.a. w.: Adakah syaitanmu telah datang. Maka saya menjawab: Wahai Rasulullah. Adakah syaitan bersamaku? Jawab baginda: Ya. Saya bertanya lagi: Adakah terjadi pada tiap manusia. Jawab baginda: Ya. Maka saya pun bertanya: Adakah juga berlaku atasmu wahai Rasulullah. Jawab Rasulullah: Ya tetapi Tuhanku memelihara akan daku hingga aku selamat daripada tipu dayanya.


Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

 "Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan." 
(Riwayat Baihaqi)

Jelasnya bahawa setiap orang itu mempunyai qarin berupa syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Di antara qarin dan manusia, perbezaannya ialah manusia adalah seumpama bahan tunggangan, manakala qarin (iblis dan syaitan) tadi adalah penunggangnya. Demikianlah, perbandingan yang diberi oleh Rasulullah s.a.w. Maksud menunggang atau memperkosa di sini bukanlah seumpama manusia itu menunggang kuda, menjadikan syaitan itu seumpama seorang penunggang yang sentiasa berada di atas jasad manusia dalam keadaan yang tidak dapat dilihat.

Maksud sebenar hadis ini ialah iblis dan syaitan itu sentiasa berazam dan berusaha supaya manusia menurut kehendaknya. Banyak diantara mereka yang terpedaya dengannya sehingga menjadikan manusia itu memandang benda-benda yang baik itu buruk dan yang buruk itu baik serta menarik, cantik serta mengghairahkan, lantas mereka menentang perintah Allah s.w.t. Mereka inilah golongan yang menjadi bahan tunggangan qarin tadi.


Gambaran godaan iblis dan syaitan terhadap manusia dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis yang bermaksud bahawa seseorang itu apabila hendak menganut agama Islam, iblis akan menggoda dan menipu manusia. Syaitan akan bertanya adakah mereka hendak meninggalkan agama asal mereka, iaitu agama yang telah dianuti oleh bapa-bapa dan keturunan mereka sejak dahulu kala lagi. Ketika manusia hendak berhijrah, iblis dan syaitan bertanya, adakah mereka sanggup meninggalkan tanahair yang telah mereka diami sejak dahulu kala.


Sesungguhnya syaitan itu duduk mengganggu manusia dengan berbagai bagai cara. Ia duduk melakukan gangguan kepada manusia dengan alasan Islam. Lalu ia berkata: 

"Apakah kamu masuk Islam, dan meninggalkan agama kamu dan agama nenek-moyang kamu? Tetapi manusia itu menentangnya dan masuk Islam. Lalu syaitan itu duduk menganggu manusia dengan jalan hijrah ". 

Syaitan berkata: "Apakah kamu hendak hijrah, meninggalkan bumi dan langitmu? Tetapi manusia itu menentang dan berhijrah

Kemudian syaitan itu duduk dan menganggu manusia dengan jalan jihad dan berkata: Apakah. kamu akan berjihad sedangkan jihad itu menghilangkan nyawa dan harta. Kamu akan terbunuh. Maka isteri kamu akan dikahwini oleh orang lain, manakala harta-harta kamu akan dibahagibahagikan. Tetapi manusia tetap menentang syaitan dan terus berjihad.

Begitulah gambaran ringkas atas tamsil yang terjadi diantara manusia dan qarinnya atau dengan syaitan lain. Hanya manusia yang leka dan sesat sahaja yang akan terpedaya dengan qarinnya yang boleh diperintah dan dipacu menurut kehendaknya. Mereka inilah yang akan menjadi kuda tunggangan iblis dan syaitan.

Inilah jawapan Allah s.w.t. ketika iblis bersumpah akan membinasakan manusia seperti dalam Surah al-Hijr ayat 42.

Sesungguhnya hamba-hambaku tidak ada kekuasaan bagimu atas mereka kecuali orang yang mengikut kamu iaitu orang orang yang sesat.


Selain gangguan qarin, Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud bahawa tidak ada anak Adam yang dilahirkan ke dunia ini yang tidak diganggu oleh syaitan kecuali Isa 'alaihissalam dan ibunya Maryam berdasarkan firman Allah dalam Surah Ali Imraan ayat 36.Sesungguhnya aku melindungi akan dia (Maryam) serta anak keturunannya daripada syaitan yang direjam.

Lantaran gangguan-gangguan yang sedia menunggu itu maka Allah menyuruh supaya dibacakan azan (bang) di telinga kanan dan (qamat) di telinga kiri sebaikbaik seorang bayi itu dilahirkan yang salah satu tujuannya untuk mengelakkan daripada gangguan iblis dan syaitan.

Dari Abu Rafi r.a. (bekas hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah s.a.w.) ia berkata: 

Aku lihat Rasulullah s.a.w. membaca azan solat di telinga Husain bin Ali ketika Fatimah r.a. melahirkannya. 

Sebuah hadis lain, dari Husain bin Ali r.a. ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda: 

Siapa yang melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan itu diazankan pada telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan (jin yang menganggu kanak-kanak) tidak akan menganggunya.


Sehubungan dengan gangguan-gangguan ini, Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya meriwayatkan bahawa. Rasulullah s.a.w. ada bersabda:

Apabila malam meliputi (atau apabila malam menyelubungi) maka cegahlah anak-anak kamu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu berkeliaran ketika itu. Maka apabila luputlah satu ketika daripada Isyak, maka berilah kebebasan kepada mereka, selak pintu kamu serta sebut nama Allah dan padamkan lampu serta sebut nama Allah, dan tudunglah bekas-bekas minuman kamu dan sebut nama Allah, dan tutuplah bekas-bekas makanan dan menyebut nama Allah biarpun bekas itu telah ditudungi atau direntangi sesuatu ke atasnya.

Hakikatnya, malam bukan masa untuk manusia keluar dari rumah seperti yang seharusnya dilakukan pada waktu siang. Malam adalah untuk berehat, menenangkan fikiran dengan mengingati Allah, bukan untuk berkeliaran di luar rumah seperti dalam Surah Yunus ayat 67.

Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang mendengar.


Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya setiap orang mengurangkan keluar pada waktu malam kerana pada waktu malam segala kejahatan buruk boleh terjadi tanpa diduga.

Keluar pada malam itu tidak digalakkan kecuali sebab-sebab tertentu. Apatah lagi jika keluar seorang diri. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. ada bersabda:

Andainya manusia itu tahu apa yang terjadi ketika berseorangan, seseorang itu tidak akan berjalan bersendirian biarpun satu malam buat selamalamanya.


Menurut kepercayaan keagamaan orang Mesir pada zaman lampau, qarin ialah makhluk kedua dalam setiap individu, atau secara umumnya sebagai teman, rakan dan syaitan. Dengan kata lain, qarin umumnya dipercayai sebagai hantu, syaitan atau jin yang lahir bersama-sama bayi dan akan menjadi teman sepanjang hidup. Kepercayaan orang-orang Islam di Afrika Utara terhadap qarin berkait rapat dengan kepercayaan orang-orang Mesir. Jin yang terdiri daripada jantina yang berlainan menjadi rakan pada roh. Sekiranya bayi yang lahir itu lelaki, maka qarin itu dianggap sebagai kakak, begitulah sebaliknya. Qarin dikatakan tidur dengan kembarannya dan mempunyai kaitan dalam tidurnya yang dikenali sebagai mimpi. Seorang yang sedang tidur dikatakan pengaruh qarinnya lebih kuat daripada orang itu.


Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, "Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu." Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: "Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum."

Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.

INGAT....JANGAN SEKALI-KALI KITA TEWAS DENGAN TIPU DAYA MEREKA!!!
HASBUNALLAHU WA NI'MAL WAKIL..


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...