Mendirikan Masjid



Riwayat: 
 (Muslim)

Hadith: 
Dari Muhammad bin Labid r.a katanya:Ketika Usman bin Affan bermaksud hendak merombak masjid (Madinah), orang ramai tidak setuju. Mereka lebih suka membiarkannya sebagaimana adanya. Maka berkata Usman bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:Sesiapa yang membangunkan masjid kerana Allah, maka Allah akan membuatkan untuknya rumah seperti itu di syurga.

 
Huraian Hadith: 
1. Rumah ibadat umat Islam adalah masjid. Masjid menampilkan sistem keagamaan yang terbuka di mana ibadah di dalamnya boleh dilakukan oleh sesiapa saja yang beragama Islam. Dengan berbekalkan ilmu fardu ain sudah mencukupi bagi seseorang untuk menjadi imam bagi mengetuai sembahyang berjemaah di masjid. Begitu juga dengan bilal. Sesiapa pun boleh menjadi bilal. Apabila masuk saja waktu sembahyang , sesiapa pun boleh tampil dan menjadi bilal. Berbeza dengan agama lain, tanpa paderi atau sami, upacara agama tidak boleh dilakukan.
2. Dalam Islam urusan lantikan oleh jabatan agama hanya untuk melicinkan pentadbiran dan bukannya bermakna kedudukan imam, bilal dan khatib adalah lebih tinggi daripada jemaah.
3. Semangat institusi masjid terserlah dalam semua amalan Islam. Nilai dalamannya ialah persamaan di mana ilmu agama terbuka untuk semua orang Islam. Sesiapa pun boleh mempelajari dan mengamalkannya. Masjid juga melambangkan hubungan langsung seseorang individu manusia dengan Allah SWT. Tidak ada perantaraan seperti melalui paderi dan sebagainya sebagaimana yang berlaku pada agama-agama lain.
4. Orang yang membina atau mendirikan masjid dijanjikan Allah SWT pahala yang besar dan ganjaran yang istimewa di akhirat kelak. Namun, pembinaan masjid yang banyak dan indah tidak memberi sebarang makna sekiranya ia tidak dihidupkan dengan ibadah oleh penduduk di sekelilingnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget