Terbatalnya Syahadah Umat




Bila bercakap tentang syahadah, ramai yang percaya bahawa diri mereka itu sudah benar-benar Islam dan beriman pada Allah swt dan rasulNya Muhammad saw. Padahal ramai yang secara tidak sedar telah pun terbatal syahadah mereka kerana perbuatan mereka sendiri. Kebenaran memang pahit tapi tetap terpaksa kita telan.. 

Islam dan iman.. Hadirnya Islam dalam diri seseorang hanyalah selepas dia beriman dengan sebenar-benarnya, bukan hanya berpura-pura (munafik). Iman juga boleh tergugur atau terbatal oleh beberapa perkara. Oleh kerana iman adalah asas pada agama Islam, maka terbatalnya iman inilah yang menyebabkan terbatalnya juga Islam seseorang. Antara perkara yang menggugurkan iman ialah:

  1. KUFUR
  2. SYIRIK
  3. NIFAK
  4. RIDDAH


Kufur

Sesiapa yang ingkar dan tidak percaya kepada Allah dan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah kufur atau dipanggil kafir. Kufur pada Allah dan Rasul terjadi apabila seseorang menolak mana-mana saja perintah Allah swt serta menafikan sunnah-sunnah Rasulullah saw. Perintah Allah swt bukanlah terhad pada solat..zakat..puasa..dan haji semata-mata, bahkan meliputi seluruh peraturan dalam kehidupan kita seperti dalam kita bermuamalat, bermasyarakat, perundangan dan pendidikan.

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
(Al-Baqarah-208)

".......Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri “
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)


“……Barangsiapa tidak menghukum perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” 
(Surah Al Ma’idah : 45)

“……Barangsiapa tidak menghukum perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” 
(Surah Al Ma’idah : 47)


Syirik
Menyekutukan Allah dengan makhlukNya sama ada secara langsung atau pun tidak, nyata ataupun secara tersembunyi. Sebagai contoh, pemerintah  atau golongan rakyat yang menganggap hanya mereka sahaja yang mampu memberi kejayaan atau kemajuan pada suatu negara. Mereka mengganggap peraturan mereka lebih agung berbanding dengan peraturan yang di turunkan oleh Allah swt.(Al Kitab & Al Hikmah) Perbuatan syirik termasuklah amalan sihir dan khurafat... rujuk sini.

Nifak
Nifak ialah perbuatan berpura-pura dan orang-orang ini digelar sebagai munafik. Mereka beramal tanpa beriman dan hanyalah pada zahir sahaja untuk mengaburi mata manusia. Apabila suatu suruhan atau perintah dari Allah mereka rasakan susah atau tidak sesuai dengan nafsu mereka, mereka akan mencari-cari alasan dan dalil untuk mengelak diri dari perintah Allah swt.

Riddah
Berpaling dan keluar dari  agama Islam melalui perkataan, hati atau perbuatan. Contoh riddah ialah:

Riddah melalui perkataan apabila berkata,
"Solat masa dah tua pun boleh.." 
"Hudud tak sesuai zaman kita"
"Tutup aurat ketinggalan zaman.."

Riddah melalui hati apabila berniat untuk keluar dari agama Islam atau pun membenci Allah, Rasul, dan apa-apa jua aturan dan hukum dari Allah.

Riddah melalui perbuatan terjadi apabila seseorang itu melakukan amalan dari agama lain seperti memakai salib, menyembah berhala (walaupun berlakon ).

Tulisan ini tidak lain hanyalah pesanan untuk diri aku sendiri dan juga untuk seluruh saudara seagama dengan aku.. Bukan menghukum orang itu munafik, orang ini kafir, tapi kerana sayang pada semua dan cuba untuk menjadi seorang muslim dan hamba yang benar-benar menyembah tuhannya.. Wallahu'alam..


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget