Kerinduan Bilal Pada Rasulullah SAW


Bilal bin Rabah r.a merupakan antara sahabat yang rapat dengan baginda Rasulullah saw. Beliau seorang lelaki berkulit hitam, namun hatinya putih dengan wudu’ yang sentiasa dijaga. Semasa Isra’ dan Mikraj juga Nabi SAW yang mendengar tapak kakinya di dalam syurga, walhal beliau masih hidup di bumi yang maha fana’.

“Wahai bilal, apakah amalan yang kamu tidak pernah tinggal? Sesungguhnya Aku mendengar tapak kakimu sudah berada dalam syurga” Nabi SAW bertanya setelah pulang dari perjalanan Isra’ dan Mikraj.

Bilal menjawab, “Aku tidak akan melakukan azan melainkan aku akan solat dua rakaat. Apabila aku berhadas, pasti aku akan berwudu’, selepas itu, aku akan menunaikan solat dua rakaat”.

Beliau pernah menjadi hamba kepada seorang kafir, Umayyah bin Khalaf yang sangat membenci Islam. Semasa bilal masih hamba, berita keislaman bilal menyebabkan dia menjadi berang, sehingga sanggup menyeksa bilal sezalim-zalimnya. Bilal diterlanjangkan dan dijemur di bawah kepanasan padang pasir. Tak cukup dengan itu, sebiji batu besar di hempap pula ke atas dada Bilal. Namun, apa yang keluar dari mulut beliau pada masa itu hanyalah “ahad, ahad dan ahad”, sebagai tanda ketauhidan bilal terhadap Allah SWT.

Abu Bakar As-Siddiq R.A berasa sangat kasihan dengan kezaliman itu telah membeli Bilal dan memerdekakannya. Umayyah telah dibunuh Bilal dalam peperangan Badar. Umayyah terbunuh dengan tetakan pedang yang dilakukan oleh Bilal. Sebelum tetakan terkena lehernya, kelihatan diwajahnya rupa ketakutan, tidak seperti bilal yang diseksanya dahulu.

Sejak Islam, Bilal terlalu rapat dengan Nabi SAW. Walaupun kulitnya yang hitam, tidak pernah dijadikan perasaan ’geli geleman’ dalam hati nabi untuk menjadikannya sebagai sahabat yang rapat.

Di saat azan disyariatkan, Bilal dilantik oleh Nabi SAW sebagai Muazzin. Perlantikan yang membawa satu pengiktirafan terhadap keimanan dan keislaman bilal sehingga ke hari ini.

Selepas kewafatan Nabi, Bilal berasa sedih yang teramat sangat sehingga beliau tidak sanggup melihat maqam Nabi SAW. Apabila melihat ke Makam nabi, pasti matanya menitiskan air.

Tidak sanggup menahan kerinduan, dia berjumpa dengan Abu Bakar As-Siddiq yang baru dilantik menjadi Khalifah dan meminta izin untuk berpindah ke negara lain. Dia tidak sanggup untuk menjadi muazzin di saat Nabi SAW tidak dapat dilihat lagi.

Dengan pujukan dan rayuan, Abu bakar As-Siddiq memintanya kekal sebagai muazzin. Dengan berat hati dan bertanggungjawab, tidak sanggup dia menolak permintaan Abu bakar As-Siddiq yang menyelamatkannya dari seksaan Umayyah bin Khalaf di awal Islamnya dahulu.

Di awal pemerintahan Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, permintaan yang sama diajukan oleh Bilal. Dengan kebenaran Umar, dia berhijrah ke Syria. Tinggal di sana, meneruskan sisa hidup dengan berdakwah dan berjihad. Dia tidak mengabaikan tugasan dakwah yang ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW.

Semasa di syria, dia telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.

“Wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muahmmad SAW dalam mimpi bilal.

Sedar dari mimpi, Bilal berasa sangat sedih. Rinduannya terhadap Nabi semakin meluap-luap. Air matanya mula menitis. Dia terus berazam, akan ke Madinahuntuk menziarahi makam Nabi SAW untuk menghilangkan rinduannya terhadap Rasulullah SAW.

Sesampai di Madinah, Bilal meluru ke kubur Nabi SAW. Melihat kubur nabi, dia menekup mukanya, kelihatan air mata Bilal menitis.. Dia berjumpa dengan cucu Nabi SAW, Hasan dan Husain. Dia memeluk dan mencium kedua-duanya.

Dalam suasana kesedihan itu, Hasan dan Husain berkata, “Pak Cik Bilal, kami terlalu ingin mendengar azan kamu”

Pemintaan dua cucunda Nabi SAW itu tidak dihampakan. Beliau naik di atas bumbung dan memulakan laungan azan.

“Allahu akbar, Allahu akbar… Allahu Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan seluruh madinah kaku. Ramai rakyat madinah terkejut. Mereka keluar dari rumah masing-masing.

Apabila sampai laungan, “Asyahadu Anna muhammad Rasulullah” keadaan kaku madinah itu telah bertukar dengan tangisan manusia.

Tangisan yang berpunca dari kerinduan mereka terhadap nabi SAW. Kerinduan bersama kekasih Allah yang merupakan seorang pemimpin yang tercinta. Semasa bilal di Syria, beliau tidak dilantik menjadi muazzin. Lagipun, sebarang permintaan terhadap beliau untuk jawatan tersebut, pasti akan ditolak.

Di saat Umar bin Al-Khattab menjadi Khalifah, beliau telah menziarahi Syria. Memandangkan orang syria tidak pernah mendengar azan laungan bilal, mereka berjumpa dengan Umar, meminta agar Umar memohon untuk Bilal melaungkan azannya.

Awalnya, permohonan umar itu ditolak, tetapi setelah diminta untuk satu solat sahaja, maka bilal pun akur. Bilal naik di atas menara, dan memulakan laungan azannya. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada di Syria menangis mendengar azan bilal tersebut, sedang orang yang paling keras menangis ketika itu adalah Umar bin Al-Khattab sendiri.

Inilah bilal bin Rabah, seorang sahabat yang tidak mempunyai rupa yang cantik, tetapi perjuangannya dalam memenangkan dan mengembangkan Islam ternyata ikhlas, malah terbukti diterima oleh Allah SWT semasa hidup beliau lagi.

Beliau meninggal dunia di Syria sewaktu umurnya 60 tahun lebih. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 hijriah. Mengikut riwayat lain, beliau meninggal dunia pada tahun 21 hijriah.



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...