Shahih Muslim (Imam Muslim)


Imam Muslim Bin Hajjaj Al Qusyairy An Nisaburi, lahir pasa 204H (820M) di Nisabur, sebuah kota besar di Khurasan, Iran. Beliau meninggal di tempat sama pada Ahad, 24 Rejab 261H (875M).

Semenjak kanak-kanak lagi, Imam Muslim sangat rajin menuntut ilmu dengan kecergasan, kebijaksanaan, kemahuan, dan ingatan yang luar biasa. Dikhabarkan pada usia 10 tahun, beliau telahpun menghafaz alQuran dan ribuan hadith berserta sanadnya.

Ketika mudanya, Imam Muslim merantau ke serata negeri-negeri Islam seperti Iraq, Hijaz, Syam, Mesir dan lain-lain untuk mencari ilmu dengan ulama-ulama pada masa itu. Antara guru beliau ialah Imam Ahmad Bin Hanbal dan Abdullah ibnu Maslamah. Beliau juga sentiasa mendampingi Imam Bukhari ketika Imam Bukhari datang ke Nisabur.


Imam Muslim memikul nama yang besar sebagai ulama hadith yang masyur hingga mendapat gelaran Imam. Beliau bukan sahaja bijak, kuat ingatan, tekun, malah sentiasa menjauhkan dirinya daripada dosa. Oleh kerana itu, karya beliau amat menimbulkan rasa hormat dikalangan ahli-ahli ilmu.


Imam Muslim berjaya mengumpul sebanyak 300 000 hadith yang kemudiannya beliau periksa satu persatu dengan ilmu "mustolah hadith" Setelah ditapis dengan sangat teliti, hanya 7275 saja hadith yang mendapat 'sahih'. Ketelitian ini menempatkan Imam Muslim sebaris dengan Imam Bukhari walaupun beliau sendiri pernah belajar dari Imam Bukhari. Selain Shahih Muslim, karya beliau yang lain antaranya ialah Al Musnad Al Kabir, Al Jami', Al Asma' wal Kaniya, Al Afrad wal Wihdan, Al Aqran, Masyaikh At Thauri, Tasmiyatu Syuyukhi Malik dan banyak lagi.


Semoga Allah swt melimpahkan rahmatNya dan kebaikan yang tidak putus-putus pada Imam Muslim atas jasa beliau mengumpulkan hadith-hadith Rasulullah saw, sehingga kaum muslimin dengan mudah dapat membuat rujukan dan panduan dalam pelbagai masalah dan soal.

InsyaAllah...amin.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...