Hadith 40 (Imam An Nawawi) - Hadith 6


Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. 

Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. 

Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.

(Bukhari dan Muslim)


Pokok Perbincangan Hadis :

1) Perkara halal dan haram yang jelas yang telah dinaskan seperti kahwin, makan benda-benda yang baik manakala yang haram seperti minum arak, judi, zina dan riba.

2) Perkara-perkara Syubhat yang berlaku dalam ibadah, muamalat dan lainnya yang tidak jelas halal dan haram dan tidak ada nas padanya.

3) Bila berhadapan dengan syubhat, tinggalkan perkara tersebut untuk elakkan dosa dan mendapat redha Allah. Tinggalkan syubhat untuk mendapat sifat wara’ dan kesempurnaan iman.

4) Peranan Hati :
Banyak ayat ditujukan pada hati (hadis - akal terletak dihati)
Hati yang berpenyakit diusahakan dengan mengikut manhaj Allah.


Pengajaran hadis:

Seseorang mukmin mestilah cuba mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melakukan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.

Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubhat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan keheningan agama.

Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah. 

Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget