Kebebasan Beragama Ajaran Demokrasi

Antara tiang utama ajaran demokrasi adalah kebebasan. Demokrasi mengajar bahawa manusia memiliki empat jenis kebebasan iaitu:

1. Kebebasan beragama (berakidah)

2. Kebebasan bersuara

3. Kebebasan bertingkah laku 

4. Kebebasan kepemilikan. 

Tidak ada konsep halal dan haram dalam ajaran demokrasi di mana kesemua bentuk kebebasan itu boleh diamalkan (malah mesti dihormati) asalkan tidak mengganggu hak sama rata orang lain di dalam mengamalkannya. Bagi Muslim pencinta demokrasi, dengan menganggap bahawa demokrasi adalah sebuah sistem yang terbaik yang ada buat masa ini, mereka sering mencari dalil/nas untuk membuktikan bahawa apa yang diajar oleh demokrasi tidak bercanggah dengan Islam. Malah mereka tanpa segan silu dan tanpa rasa bersalah, meletakkan bahawa demokrasi adalah selari dengan ajaran Islam. Untuk itu, maka dicarilah nas-nas yang membuktikan bahawa ajaran demokrasi itu selaras, malah ada yang mengatakan bahawa ia diambil dari ajaran Islam itu sendiri! 

Hal ini dirancakkan lagi dengan adanya golongan yang berfahaman Liberal, yang sering menafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut kehendak dan hawa mereka dalam rangka menyebarkan kefahaman songsang mereka bahawa kebebasan dalam demokrasi tidak bercanggah dengan Islam. Golongan Liberal ini begitu mengagungkan idea hak asasi manusia sehingga mereka berani menyatakan bahawa setiap manusia bebas untuk melakukan apa sahaja sesuai dengan hak asasi walau ke tahap menukar agama sekalipun. Mereka kemudian memetik ayat-ayat Al-Quran, antaranya Surah al-Baqarah:256 bagi membenarkan hujah mereka. SautunNahdhah kali ini Insya Allah akan menjelaskan ayat ini sekali gus menjelaskan penyesatan pemikiran yang telah dilakukan oleh kelompok ini.

Tafsir Ayat

Allah SWT berfirman, 

“Tidak ada paksaan di dalam (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang sesat. Kerana itu, siapa yang mengingkari Thaghut dan mengimani Allah, sesungguhnya ia telah berpegang pada tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” 
(Al-Baqarah: 256) 




Dari sesi sabab an-nuzul (sebab penurunan) ayat ini, Muhammad bin Ishaq menuturkan dari Ibnu Abbas bahawa ayat ini turun kepada seorang Ansar dari Bani Salim bernama al-Husaini. Beliau memiliki dua orang anak yang beragama Nasrani sedangkan beliau sendiri adalah seorang Muslim. Lalu beliau berkata kepada Rasulullah SAW,

“Apakah tidak aku paksa sahaja keduanya (untuk masuk Islam) kerana mereka enggan kecuali menjadi Nasrani.”



Allah SWT kemudian menurunkan ayat ini menjelaskan perkara tersebut (Tafsir Ibnu Katsir)

Firman Allah:


 Laikraha fi al-deen
"tidak ada paksaan di dalam (memasuki) agama (Islam)"

 Makna al-ikrah(paksaan), sebagaimana dituturkan al-Baidhawi adalah,mewajibkan orang lain melakukan suatu perbuatan, sementara orang yang dipaksa itu tidak melihat kebaikan di dalamnya tatkala ia membawanya . Adapun ad-deen yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah deenal-Islam. Walaupun berbentuk pernyataan, yakni menafikan pemaksaan dalam agama, ia mengandungI makna larangan. Ertinya, ayat ini melarang tindakan memaksa orang kafir untuk masuk ke dalam deen al-Islam.

Meskipun tidak boleh memaksa orang-orang kafir masuk ke dalam agama Islam berdasarkan ayat ini, namun dalam beberapa ayat lainnya terdapat kewajipan perang untuk menghadapi orang-orang kafir dan munafik (lihat at-Taubah:73, at-Tahrim:3). Akan tetapi, perang itu harus dihentikan ketika mereka bersedia menjadi kafir dzimmi (kafir warganegara yang tunduk kepada pemerintahan Islam) dan membayar jizyah (lihat at-Taubah:29). Maksud “kafir” merangkumi siapa sahaja yang beragama selain Islam sama ada Majusi, Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), Buddha, Hindu, Sikh, ateis dan lain-lain. Suatu ketika Umar ra. menyebut tentang kaum Majusi, lalu ia berkata, 

“Aku tidak tahu bagaimana memperlakukan mereka.’ Abdurrahman bin Auf kemudian berkata, ‘Aku bersaksi bahawa aku benar-benar mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Perlakukanlah mereka (yakni penganut Majusi) sebagaimana perlakuan terhadap Ahlu Kitab” ( HR Malik).



Oleh itu, dalam hal memeluk deen al-Islam, orang-orang kafir tidak boleh dipaksa untuk melakukannya. Namun demikian, terdapat satu pengecualian kepada hal ini yakni khusus untuk kaum musyrikin Arab, mereka tidak diberi pilihan kecuali hanya masuk Islam. Jika menolak, mereka mesti diperangi (lihat al-Fath:16).


Perlu diperhatikan dan difahami dengan benar, bahawa larangan paksaan itu hanya berlaku dalam memasuki Islam, yakni orang kafir (selain musyrik Arab) tidak boleh dipaksauntuk masuk Islam. Berbeza halnya apabila seseorang kafir itu sudah masuk Islam (menjadi Muslim) dan hendak keluar dari Islam (murtad). Hal ini sama sekali tidak dibenarkan dan tidak termasuk dalam pengertian ayat di atas. Islam mewajibkan pemeluknya untuk tetap berada di dalam Islam. Apabila ada yang hendak keluar atau murtad dari agamanya (Islam), maka Islam akan menjatuhkan hukuman yang sangatberat kepada pelakunya, yakni hukuman bunuh (mati). Hukuman mati ini wajib dijatuhkan apabila pelakunya tetap berkeras mahu murtad meskipun sudah diminta bertaubat dan diberi tempoh waktu untuk kembali ke pangkuan Islam. 



Rasulullah SAW bersabda, 

“Siapa sahaja yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia” (HR Bukhari, Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibnu Majah).



Ringkasnya, sebagaimana yang disampaikan oleh ath-Thabari, ayat ini bermakna “Tidak ada paksaan dalam beragama bagi orang yang halal diterima jizyah-nya, dengan membayar jizyah serta redha dengan hukum Islam” (Ath-Thabari).


Selanjutnya Allah SWT berfirman:


"sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang sesat." 

Ditegaskan dalam ayat ini bahawa telah jelas kebenaran dari kebatilan, keimanan dari kekufuran, petunjuk dari kesesatan, yang disebabkan kerana banyaknya bukti dan ayat yang menunjukkannya. 



Sikap Terhadap Orang Kafir

Ayat ini sering dicemari oleh kaum Liberal untuk menjustifikasi idea kebebasan beragama (hurriyah al-‘aqidah). Kewujudan golongan Liberal itu sendiri adalah kerana kebebasan berpendapat tanpa batas yang disediakan oleh demokrasi. Idea puak Liberal ini memandang bahawa manusia memiliki kebebasan penuh dalam beragama di mana manusia bebas memeluk, menentukan, dan berpindah-randah antara agama sesukanya, termasuk juga bebas untuk tidak beragama. Mereka berhujah bahawa kebebasan ini terpakai untuk semua orang termasuk Muslim. Justeru, andai ada seseorang pada hari ini beragama Islam, keesokannya murtad menjadi Kristian, esoknya lagi bertukar ke agama Buddha dan setelah itu berubah menjadi ateis, hal iniboleh sahaja dan sah menurut puak Liberal. Ia tidak boleh dilarang, bahkan tindakannya mesti dianggap sebagai pilihan yang harus dihormati. Potongan ayat ini, “la ikrahafî al-deen”, didakwa mereka selaras dengan idea kebebasan yang lahir dari ideologi sekularisme yang diamalkan di bawah sistem demokrasi.

Dakwaan tersebut jelas batil. Sebagaimana telah diungkapkan di atas, tiadanya paksaan dalam agama itu hanya dalam konteks orang kafir masuk ke dalam agama Islam yakni orang kafir (selain musyrik Arab) tidak boleh dipaksa untuk masuk Islam. Namun, jika seseorang kafir itu sudah masuk Islam (sudah menjadi Muslim) makadia tidak boleh lagi keluar atau murtad dari Islam. Jika ia berkeras dengan pendiriannya untuk keluar (murtad) maka ia wajib dijatuhkan hukuman mati, sebagaimana nas hadis di atas. Setiap orang yang memeluk Islam wajib melaksanakan syariat Islam seratus peratus dan syariat Islam menetapkan bahawa jika ia keluar dari Islam, maka ia wajib dibunuh. Hukum syariat ini terpakai kepadanya.

Dalam idea kebebasan beragama, demokrasi mengajar bahawa manusia bebas secara mutlak untuk memilih agama masing-masing di mana kebebasan itu menjadi hak manusia yang tidak boleh diganggu gugat. Tidak ada konsekuensi apa pun atas pilihan seseorang dalam memilih agama, malah tindakan menghukum (apatah lagi hukuman mati)seseorang yang menukar agama dianggap sangat kejam. Sesungguhnya ajaran demokrasi ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam masalah agama (akidah), manusia tidak dibiarkan dan tidak dibenarkan memilih sesuka hatinya. Allah SWT sebagai Pencipta manusia telah memerintahkan setiap manusia untuk memeluk Islam. Perintah Allah tersebut bersifat jazm(tegas dan pasti) dan tidak ada pilihan di dalamnya. Siapapun yang memenuhi perintah itu akan mendapatredhaNya, pahala dan syurga. Sebaliknya, siapa sahaja yang mengingkari perintah tersebut akan mendapat murkaNya, dosa dan azab neraka selama-lamanya. Memeluk Islam bukanlah perkara pilihan (dalam erti kata boleh dikerjakan atau tidak) sesuka hati manusia. Ia adalah perintah Allah SWT yang wajib ditaati oleh semua manusia.


Perlu difahami juga bahawa tiadanya paksaan itu sama sekali bukan disebabkan semua agama itu sama benarnya sehingga manusia diberi kebebasan memilih agama sesukanya, seperti anggapan kaum Liberal. Paksaan dalam memeluk Islam tidak diperlukan disebabkan kerana kebenaran Islam amat jelas dan terang. Ibnu Katsir berkata, “Janganlah kalian memaksa seseorang untuk masuk Islam kerana telah jelas dan terang dalil-dalil serta bukti-bukti kebenarannya hingga tidak diperlukan lagi paksaan terhadap seseorang untuk masuk ke dalamnya”. Sesungguhnya manusia itu tidak bebas beragama, tetapi wajib beragama Islam. Idea kebebasan beragama ini sesungguhnya merupakan ajaran demokrasi yang lahir dari idea manusia, yang memisahkan agama dari kehidupan. Demokrasi tidak lain merupakan sebuah konsep dan sistem kufur yang berasal dari Barat yang haram untuk diambil, diterapkan dan disebarluaskan oleh umat Islam. 

Wallahua‘lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...