MENYEDIHKAN SEBUAH KAMPUNG MURTAD DI SABAH
Berikut adalah laporan yang diceritakan oleh seorang pendakwah, Rosmadi Nawi dan jemaah yang kini sedang berdakwah di Sabah. Mereka telah menjejaki masjid yang sudah 18 tahun dibiarkan usang di Kg Langkabong, Tongod, Sandakan, Sabah. Menurut apa yang diceritakan oleh Ustaz Ebit Lew, penduduk kampung di Sandakan itu semuanya telah dimurtadkan. Berikut adalah laporan dari seorang Imam Daerah Tongod, Imam Daim yang mereka temui minggu lepas selepas solat jumaat di Masjid Kg Entilibon:
Kelmarin (6 Julai 2014) saya bersama amir jemaah (Maulana Jamal) dengan menaiki kenderaan 4WD Hilux peniaga Pakistan (Poushto) telah nekad untuk menziarahi Kg Langkabong. Kampung tersebut terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari masjid daerah Tongod. Bila kami sampai ke kawasan berdekatan lokasi masjid tersebut kami terpaksa meredah semak samun dgn dipandu arah oleh peniaga Pakistan dan tak terlintas di dalam hutan tersebut ada tinggalan masjid. Setelah meredah semak sejauh kira-kira 70 meter dari jalan ternampak samar-samar bangunan usang di sebalik semak samun.
Kami rasa terkedu melihat keadaan masjid tersebut dan naik ke dalam dgn terpaksa meredah serpihan bumbung yang runtuh dan kotoran yang bertimbun di dalam masjid tersebut.Kami bergotong-royong membersihkan kotoran di dalam masjid itu. Jemaah kami, Badrul Munir melaungkan azan dengan sayu kemudian kami solat sunnat 2 rakaat di rumah Allah yang telah hampir 20 tahun kesepian.Selepas kami bersihkan masjid tersebut sekadar yang termampu, kami beredar dengan perasaan sedih.
Setelah beredar dari masjid kami diberitahu oleh peniaga Pakistan itu yang ada 2 keluarga yang masih beragama Islam. Kami buat keputusan untuk menziarahi mereka. Pakcik Awang yang berketurunan Bajau dan memang asal dilahirkan Muslim. Isterinya anak tempatan, keturunan Sungai yang memeluk agama Islam.Bapa dan adik beradik isterinya semuanya sudah murtad.
Beliau menceritakan sejarah pengislaman dan kemurtadan beramai- ramai di Kg Langkabong ini. Di sekitar tahun 1979 hingga 1982 berlaku pengislaman beramai- ramai (lebih kurang 370 orang) di Kg Langkabong. Selepas pengislaman tersebut sebahagian dari mereka telah ditarbiyah dan dilatih di Pusat Dakwah di Keningau selama 3 tahun. Mereka ini termasuklah adik ipar kepada Pakcik Awang tadi yang bernama Abdul. Balik dari kursus tersebut, Abdul telah dilantik sebagai Bilal Masjid Langkabong. Selepas itu berlaku usaha gigih pendakwah Kristian yang bertubi-tubi di Kampung Langkabong sehingga seorang demi seorang telah murtad termasuklah Bilal masjid sendiri yang sampai sekarang masih menggunakan nama Abdul.
Masjid Langkabong akhir sekali digunakan di sekitar tahun 1996 menurut Pakcik Awang. Mengikut Imam Daerah Tongod, Ustaz Daim yang kami temui di Masjid Entilibon kawasan 3T ini adalah sasaran yang terkuat pendakwah Kristian di seluruh Sabah.
Ianya berlaku apabila umat Islam sebagai pendokong agama yang haq tidak menjalankan tugas mereka yang sebenarnya sebagai Dae’i Allah sebaliknya agama bathil telah bergerak. Kata Syeikh Saad Al Kandahlawi, “Gejala kemurtadan tidak akan berlaku jika setiap orang Islam menjadikan diri mereka daei Allah.”
Beliau menceritakan kisah seorang sahabat Abdullah B. Khuzafah ra yang mempertahankan imannya dari murtad walaupun diberi tawaran dunia dan ugutan bunuh. Sehinggakan beliau menangis kerana hanya dikurniakan satu saja nyawa. Katanya “‘Kalaulah nyawaku sebanyak bulu roma di badanku, nescaya akanku korbankan satu persatu untuk agama Allah”.
Semoga kita semua jadikan diri kita, seluruh keluarga kita dan seluruh ummat Dae’i, nsyaAllah. Laporan Dr Rosmadi dan Jemaah. Berikut kami kongsikan gambar surau yang usang yang telah ditinggalkan penduduknya lebih 20 tahun lalu.
Diharapkan perkongsian ini membuka mata hati kita seluruh umat islam di Malaysia supaya lebih peka kepada saudara Islam di tempat lain.
No comments:
Post a Comment