Amir bin Abdullah at Tamimi



Amir bin Abdullah at Tamimi merupakan antara tabi'in yang lahir pada zaman pemerintaha khalifah Umar r.a di kota Basrah. Beliau berbadan tegap, berjanggut panjang, banyak beribadah dan dibesarkan dalam lingkungan orang yang bertakwa iaitu para sahabat.

Pada waktu kecilnya, kota Basrah telah dijadikan sebagai kubu tentera muslimin untuk menyerang Parsi. Setiap hari akan kelihatan pemuda-pemuda Basrah berlatih senjata dan sanggup berkorban nyawa bila-bila masa sahaja. Oleh kerana didedahkan dengan semangat jihad sejak kecil lagi, semangat Amir bin Abdullah untuk turut sama berjuang semakin berkobar-kobar.

Setelah dewasa, dengan semangat jihad yang tinggi, Amir akan sentiasa menyertai setiap peperangan bersama para sahabat r.a. Apabila tentera islam berjaya menawan Parsi, harta rampasan perang ketika itu amatlah banyak dan Amir merupakan orang yang membuka pintu harta kerajaan Parsi pada masa itu.Walaupun tentera islam amat kaya dengan harta rampasan perang, beliau tetap tidak memandang pada harta keduniaan. Amir memilih untuk tetap dengan kezuhudannya dan berjuang hanya untuk mengejar syahid di jalan Allah swt. Bahkan, pada setiap malam dalam peperangan ketika orang lain sudah melelapkan mata, beliau memilih untuk sujud pada penciptanya sendirian.Walaupun beliau banyak beribadah, Amir tidak pernah memandang rendah pada orang lain.

Sebagai seorang yang sangat zuhud, beliau selalu berpesan supaya tidak sekali-kali mendekati para penguasa supaya tidak terleka dengan pangkat dan harta. Tetapi kenyataan Amir telah diputar belit dan beliau telah difitnah sehingga menyebabkan beliau dihalau supaya berpindah ke Syam. 

Sekalipun demikian, beliau tidak berasa marah malah berdoa, "Ya Allah, siapa jua yang telah mendustakan aku, menyebabkan keluarnya aku dari kota ini dan memisahkanku daripada sahabat-sahabatku, telah aku maafkan. Maka berilah mereka 'afiat di dunia dan akhirat. Matikanlah kami dalam rahmat dan keampunanmu."

Amir bin Abdullah telah meninggal dunia di bumi Palestin. Ketika hampir pergi, beliau berkata sambil air matanya berlinang, "Alangkah panjangnya perjalanan dan alangkah sedikitnya bekal." Jika seorang seperti beliau masih lagi mengalirkan air mata kerana risau akan amalannya, adakah amalan kita sekarang sudah cukup untul menjadi bekal diakhirat kelak? Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...