Imam Ali Zainal Abidin adalah cicit Rasulullah SAW dan anak
Sayyidina Hussain ra. Beliau diberi
gelaran ' Abal Hasan 'atau' Abal Hussain '. Beliau
juga mendapat gelaran 'As-Sajjad' (orang yang ahli sujud). Beliau
juga merupakan satu-satunya putera Sayyidina Hussain ra yang terselamat ketika
tragedi Karbala, di mana bapanya, Sayyidina Hussain ra telah syahid akibat
dipenggal kepalanya oleh tentera Yazid bin Muawiyah setelah dikepung dan
dizalimi.
Disebabkan bonda beliau wafat ketika beliau masih kecil,
beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh ibu saudara beliau sendiri.
Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti Ali bin Abu Talib ra merupakan
saudara kandung Sayyidina Hasan ra dan Sayyidina Hussain ra. Ini bermakna, Imam
Ali Zainal Abidin mendapat tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahlul Bait
Rasulullah SAW iaitu Sayyidina Hassan, Sayyidina Hussain dan Saiyyidah Zainab
binti Ali radhiallahu ‘anhum.
Beliau adalah seorang yang ahli ibadah dan hamba yang
amat taat kepada Allah SWT. Beliau meninggalkan segala sesuatu kecuali Tuhannya
dan berpaling dari yang selain-Nya, serta yang selalu menghadap-Nya. Hati dan
anggota tubuhnya diliputi ketenangan kerana ketinggian makrifahnya kepada Allah
SWT, rasa hormatnya dan rasa takutnya kepada-Nya. Bercerita tentang ketaqwaan
beliau, salah seorang putera beliau yang bernama Muhammad Al-Baqir bin Ali
Zainal Abidin pernah menceritakan: “Pada saat sedang solat, ayahku demikian
khusyuk berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina
berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku solat
seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya.”
Beliau dilahirkan di kota Madinah pada tahun 33 Hijrah, atau
dalam riwayat lain ada yang mengatakan 38 Hijrah. Beliau adalah termasuk
generasi tabi'in. Beliau banyak
meriwayatkan hadis dari ayahnya (Hussain ra), bapa saudaranya Hasan ra, Jabir ra, Ibnu Abbas ra, Al-Musawwir bin Makhromah ra, Abu Hurairah
ra, Shofiyyah ra, Aisyah ra, Ummu Kalsum ra, serta para ummahatul mukminin /
isteri-isteri Nabi SAW (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Al-Imam
Ali Zainal Abidin, mewarisi sifat-sifat ayahnya (semoga Allah SWT meredhai
keduanya) di dalam ilmu, sifat zuhud dan ibadah.
Berkata Yahya Al-Ansari: " Dia (Al-Imam Ali)
adalah paling mulianya Bani Hasyim yang pernah saya lihat . "Berkata
Zuhri:" Saya tidak pernah menjumpai di kota Madinah orang yang lebih
mulia dari beliau . "Hammad berkata:" Beliau adalah paling
mulianya Bani Hasyim yang saya temui yang terkini di kota Madinah .
"Abu Bakar bin Abi Syaibah berkata:" Sanad yang paling dapat
dipercayai adalah yang berasal dari Az-Zuhri dari Ali dari Al-Hussain dari
ayahnya, Ali bin Abi Talib . "
Kelahiran beliau dan Az-Zuhri terjadi pada hari yang sama. Sebelum
kelahirannya, Nabi SAW sudah menyebutkannya. Beliau solat 1000 rakaat
setiap hari dan malamnya. Beliau jika berwuduk, pucat wajahnya. Ketika
ditanya kenapa demikian, beliau menjawab, "Tahukah engkau kepada siapa aku
akan menghadap? . "Beliau tidak suka seseorang membantunya untuk
menyiramkan air ketika berwuduk. Beliau tidak pernah meninggalkan qiyamul
lail, baik dalam keadaan di rumah ataupun berkelana. Beliau memuji
Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Usman (semoga Allah SWT
meredhai mereka semua). Ketika berhaji dan terdengar kalimat "Labbaikallah ...
", beliau pengsan.
Suatu saat ketika beliau baru sahaja keluar dari masjid,
seorang laki-laki menemuinya dan mencacinya dengan keras. Spontan
orang-orang di sekitarnya, baik budak-budak dan tuan-tuannya, bersegera ingin
menghukum orang tersebut, akan tetapi beliau mencegahnya. Beliau hanya berkata:
"Tunggulah sebentar lelaki ini." Sesudah itu beliau
menghampirinya dan berkata kepadanya: " Apa yang engkau tidak ketahui
dari diriku lebih banyak lagi. Apakah engkau memerlukan sesuatu sehingga
saya boleh membantu?" Beliau
lalu memberinya 1000 dirham. Maka berkata laki-laki itu: " Saya
bersaksi bahawa engkau adalah benar-benar cucu Rasulullah . "
Beliau berkata: " Kami ini ahlul bait, jika sudah
memberi, pantang untuk mengharapkan balasan . "Beliau sempat hidup
bersama datuknya Al-Imam Ali bin Abi Talib, selama 2 tahun, bersama pakciknya,
Al-Imam Hasan, 10 tahun, dan bersama ayahnya , Al-Imam Hussain, 11 tahun
(semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Beliau setiap malamnya memikul sendiri karung makanan di
atas punggungnya dan menyedekahkan kepada para fakir miskin di kota Madinah.
Beliau berkata: “Sesungguhnya sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat
memadamkan murka Tuhan.” Muhammad bin Ishaq berkata: “Sebahagian dari
orang-orang Madinah, mereka hidup tanpa mengetahui dari mana asalnya
penghidupan(bantuan) mereka. Apabila Ali bin Al-Hussain wafat, mereka tidak lagi
mendapatkan penghidupan itu.”
Amr bin Tsabit menceritakan, ketika jenazah Imam Ali Zainal
Abidin dimandikan, kelihatan kulit menebal berwarna kehitam-hitaman pada
punggung beliau dan mereka saling bertanya sesama sendiri. Kemudian ada yang
menjawab: “Itu bekas beban berat yang dipikul beliau pada malam hari, iaitu
kampit-kampit gandum yang dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum
fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan di Madinah!”
Beliau jika meminjamkan wang, tak pernah meminta
kembali wangnya. Beliau jika meminjamkan pakaian, tak pernah meminta kembali
pakaiannya. Beliau jika sudah berjanji, tidak mahu makan dan minum, sampai
beliau dapat melaksanakan janjinya. Ketika beliau berhaji atau berperang
mengenderai tunggangannya, beliau tak pernah memukul tunggangannya itu. Manaqib
dan keutamaan-keutamaan beliau tak dapat dihitung, selalu dikenal dan dikenang.
Beliau meninggal di kota Madinah pada 18 Muharram 94 Hijrah, dan disemayamkan
di perkuburan Baqi’, dekat makam dari bapa saudaranya, Sayyidina Hasan RA,
yang disemayamkan di kubah Al-Abbas. Beliau meninggal dunia dengan meninggalkan
11 orang putera dan 4 orang puteri. Adapun warisan yang ditinggalkannya kepada
mereka adalah ilmu, kezuhudan dan ibadah.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment