Ada yang sampai ke tahap menuduh syirik dan mengkafirkan sesama Islam kerana isu-isu ini. Oleh itu pengarang kitab ini memulakan tulisannya dengan memperbetulkan semula kefahaman dalam hal menghukum kafir sesama Islam.
Beliau menegaskan bahawa, ramai orang telah salah faham - semoga Allah SWT memperbaiki dan menunjukkan mereka jalan yang benar - tentang sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan wajib dihukum sebagai kafir.
Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka, hinggakan hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini.
Walau bagaimanapun, kita memandang sikap keterlaluan mereka dengan baik sangka. Kemungkinan, niat mereka baik - demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar.
Namun, mereka lupa, amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik, sebagaimana firman Allah SWT:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.(al-Nahl: 125)
Cara ini lebih mudah diterima dan menghasilkan apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.
Oleh itu, apabila kamu mengajak seseorang Muslim yang mendirikan solat, melaksanakan apa yang difardukan oleh Allah SWT, menjauhi segala yang diharamkan-Nya, menyebarluaskan dakwah Islam dan aktif memakmurkan masjid kepada perkara-perkara yang pada pandangan kamu adalah benar, tetapi pandangannya berbeza dengan pandangan kamu, dan pandangan ulama mengenainya masih belum disepakati sejak dahulu hingga sekarang.
Maka dia enggan menurut pandangan kamu, lalu kamu melemparkan tuduhan "kafir" kepadanya hanya kerana beberapa perbezaan pendapat, maka sebenarnya kamu telah melakukan sebesar-besar kemungkaran dan perbuatan yang dilarang keras oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka kamu diseru supaya melaksanakannya dengan jalan yang berhikmah dan baik.
Al-Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad RA mengatakan,
"Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama."
Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) itu; seperti masalah tauhid, kenabian, sempurnanya risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari Kiamat, hisab, pembalasan pada hari Kiamat, syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir. Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya, dan selepas itu mereka tidak boleh dimaafkan lagi jika mengingkarinya.
Manakala hadis mutawatir ialah khabar atau hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang dipercayai dan tidak mungkin melakukan pembohongan, yang (diterima) daripada sejumlah perawi seperti mereka; baik dari aspek isnad (rangkaian orang yang meriwayatkannya) mahu pun tabaqat (ramainya bilangan perawi).
Adapun isnad, seperti hadis:
"Sesiapa yang melakukan pembohongan ke atasku, maka dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka."
Manakala dari aspek tabaqat (mutawatir pada setiap peringkat) seperti mutawatir-nya al-Quran. Al-Quran itu mutawatir tanpa ada had; baik di timur mahupun di barat; dalam mempelajari, membaca, mahupun menghafaznya, yang diterima dan diriwayatkan daripada sekelompok yang banyak kepada kelompok yang banyak, daripada satu generasi kepada generasi yang lain. (Oleh kerana terlalu ramai perawinya sehingga tidak terkira), maka al-Quran tidak memerlukan kepada isnad.
Kadang kala, mutawatir itu berlaku pada amalan dan pewarisan; seperti amalan sesuatu semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sampai sekarang, diamalkan dan dipraktikkan, serta tiada sesiapa yang mengingkarinya (khususnya ulama).
Kadang kala, terjadi mutawatir dari segi ilmu seperti mutawatirnya mukjizat Nabi Muhammad SAW. Meskipun sebahagiannya ada yang diriwayatkan secara ahad (individu), tetapi secara umumnya ia dapat dinilai mutawatir dengan ilmu pengetahuan setiap Muslim.
Sesungguhnya menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas, adalah suatu yang amat bahaya. Dalam hadis, Rasulullah SAW menegaskan:
Jika seseorang berkata kepada saudaranya, "Wahai kafir!" Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya.(riwayat Imam al Bukhari daripada Abu Hurairah RA)
Kesimpulannya, pengarang kitab ini benar-benar mengingatkan kita, supaya berhati-hati daripada sembarangan melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SAW sahajalah yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment