Imam Ali Zainal Abidin



Imam Ali Zainal Abidin adalah cicit Rasulullah SAW dan anak Sayyidina Hussain ra. Beliau diberi gelaran ' Abal Hasan 'atau' Abal Hussain '. Beliau juga mendapat gelaran 'As-Sajjad' (orang yang ahli sujud). Beliau juga merupakan satu-satunya putera Sayyidina Hussain ra yang terselamat ketika tragedi Karbala, di mana bapanya, Sayyidina Hussain ra telah syahid akibat dipenggal kepalanya oleh tentera Yazid bin Muawiyah setelah dikepung dan dizalimi.

Disebabkan bonda beliau wafat ketika beliau masih kecil, beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh ibu saudara beliau sendiri. Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti Ali bin Abu Talib ra merupakan saudara kandung Sayyidina Hasan ra dan Sayyidina Hussain ra. Ini bermakna, Imam Ali Zainal Abidin mendapat tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahlul Bait Rasulullah SAW iaitu Sayyidina Hassan, Sayyidina Hussain dan Saiyyidah Zainab binti Ali radhiallahu ‘anhum.

Beliau adalah seorang yang ahli ibadah dan hamba yang amat taat kepada Allah SWT. Beliau meninggalkan segala sesuatu kecuali Tuhannya dan berpaling dari yang selain-Nya, serta yang selalu menghadap-Nya. Hati dan anggota tubuhnya diliputi ketenangan kerana ketinggian makrifahnya kepada Allah SWT, rasa hormatnya dan rasa takutnya kepada-Nya. Bercerita tentang ketaqwaan beliau, salah seorang putera beliau yang bernama Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin pernah menceritakan: “Pada saat sedang solat, ayahku demikian khusyuk berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku solat seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya.”

Beliau dilahirkan di kota Madinah pada tahun 33 Hijrah, atau dalam riwayat lain ada yang mengatakan 38 Hijrah. Beliau adalah termasuk generasi tabi'in. Beliau banyak meriwayatkan hadis dari ayahnya (Hussain ra), bapa saudaranya  Hasan ra, Jabir ra, Ibnu Abbas ra, Al-Musawwir bin Makhromah ra, Abu Hurairah ra, Shofiyyah ra, Aisyah ra, Ummu Kalsum ra, serta para ummahatul mukminin / isteri-isteri Nabi SAW (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Al-Imam Ali Zainal Abidin, mewarisi sifat-sifat ayahnya (semoga Allah SWT meredhai keduanya) di dalam ilmu, sifat zuhud dan ibadah.

Berkata Yahya Al-Ansari: " Dia (Al-Imam Ali) adalah paling mulianya Bani Hasyim yang pernah saya lihat . "Berkata Zuhri:" Saya tidak pernah menjumpai di kota Madinah orang yang lebih mulia dari beliau . "Hammad berkata:" Beliau adalah paling mulianya Bani Hasyim yang saya temui yang terkini di kota Madinah . "Abu Bakar bin Abi Syaibah berkata:" Sanad yang paling dapat dipercayai adalah yang berasal dari Az-Zuhri dari Ali dari Al-Hussain dari ayahnya, Ali bin Abi Talib . "

Kelahiran beliau dan Az-Zuhri terjadi pada hari yang sama. Sebelum kelahirannya, Nabi SAW sudah menyebutkannya. Beliau solat 1000 rakaat setiap hari dan malamnya. Beliau jika berwuduk, pucat wajahnya. Ketika ditanya kenapa demikian, beliau menjawab, "Tahukah engkau kepada siapa aku akan menghadap? . "Beliau tidak suka seseorang membantunya untuk menyiramkan air ketika berwuduk. Beliau tidak pernah meninggalkan qiyamul lail, baik dalam keadaan di rumah ataupun berkelana. Beliau memuji Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Usman (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Ketika berhaji dan terdengar kalimat "Labbaikallah ... ", beliau pengsan.

Suatu saat ketika beliau baru sahaja keluar dari masjid, seorang laki-laki menemuinya dan mencacinya dengan keras. Spontan orang-orang di sekitarnya, baik budak-budak dan tuan-tuannya, bersegera ingin menghukum orang tersebut, akan tetapi beliau mencegahnya. Beliau hanya berkata: "Tunggulah sebentar lelaki ini." Sesudah itu beliau menghampirinya dan berkata kepadanya: " Apa yang engkau tidak ketahui dari diriku lebih banyak lagi. Apakah engkau memerlukan sesuatu sehingga saya boleh membantu?"  Beliau lalu memberinya 1000 dirham. Maka berkata laki-laki itu: " Saya bersaksi bahawa engkau adalah benar-benar cucu Rasulullah . "

Beliau berkata: " Kami ini ahlul bait, jika sudah memberi, pantang untuk mengharapkan balasan . "Beliau sempat hidup bersama datuknya Al-Imam Ali bin Abi Talib, selama 2 tahun, bersama pakciknya, Al-Imam Hasan, 10 tahun, dan bersama ayahnya , Al-Imam Hussain, 11 tahun (semoga Allah SWT meredhai mereka semua). Beliau setiap malamnya memikul sendiri karung makanan di atas punggungnya dan menyedekahkan kepada para fakir miskin di kota Madinah. Beliau berkata: “Sesungguhnya sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat memadamkan murka Tuhan.” Muhammad bin Ishaq berkata: “Sebahagian dari orang-orang Madinah, mereka hidup tanpa mengetahui dari mana asalnya penghidupan(bantuan) mereka. Apabila Ali bin Al-Hussain wafat, mereka tidak lagi mendapatkan penghidupan itu.”

Amr bin Tsabit menceritakan, ketika jenazah Imam Ali Zainal Abidin dimandikan, kelihatan kulit menebal berwarna kehitam-hitaman pada punggung beliau dan mereka saling bertanya sesama sendiri. Kemudian ada yang menjawab: “Itu bekas beban berat yang dipikul beliau pada malam hari, iaitu kampit-kampit gandum yang dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan di Madinah!”

Beliau jika meminjamkan wang, tak pernah meminta kembali wangnya. Beliau jika meminjamkan pakaian, tak pernah meminta kembali pakaiannya. Beliau jika sudah berjanji, tidak mahu makan dan minum, sampai beliau dapat melaksanakan janjinya. Ketika beliau berhaji atau berperang mengenderai tunggangannya, beliau tak pernah memukul tunggangannya itu. Manaqib dan keutamaan-keutamaan beliau tak dapat dihitung, selalu dikenal dan dikenang. Beliau meninggal di kota Madinah pada 18 Muharram 94 Hijrah, dan disemayamkan di perkuburan Baqi’, dekat makam dari bapa saudaranya, Sayyidina Hasan RA, yang disemayamkan di kubah Al-Abbas. Beliau meninggal dunia dengan meninggalkan 11 orang putera dan 4 orang puteri. Adapun warisan yang ditinggalkannya kepada mereka adalah ilmu, kezuhudan dan ibadah.
Wallahua'lam.



Warden Guantanamo Memeluk Islam



Seorang tentera AS, Terry Holdbrooks baru enam bulan menjalankan tugas di kem penjara Guantanamo, Cuba. Seperti warden penjara yang lain, tugasnya adalah menjaga dan mengawasi para tahanan, bersama-sama menyoal siasat tawanan, menyelia dan mengawal tahanan supaya tidak berhubungan antara satu sama lain. Tetapi pada malam itu, awal tahun 2004, Holdbrooks yang sedang bertugas pada shift malam, merasakan malam berlalu dengan begitu perlahan dan membosankan. Tetapi tiada siapa yang menduga bahawa malam itu menjadi malam bersejarah untuk dirinya.

Untuk menghilangkan rasa bosan selepas meronda dan memeriksa seluruh sel, Holdbrooks berbual-bual dengan seorang tahanan berbangsa Maghribi yang dikenali dengan gelaran "Jeneral". Meskipun baru enam bulan bertugas di kem Guantanamo, Holdbrooks telah menjalinkan hubungan persahabatan yang erat dengan "Jeneral" yang nama asalnya ialah Ahmed Errachidi.

Perbincangannya dengan Errachidi pada malam itu membuat Holdbrooks merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kem penjara Guantanamo. Selepas itu Holdbrooks kerap memesan buku-buku tentang Arab dan Islam untuk dibacanya.


Pada malam yang lain, Holdbrook kembali berbincang dengan "Jeneral". Kali ini mengenai kalimat syahadat dalam Islam, sebagai langkah membawa dirinya menjadi seorang seorang Muslim. Malam itu, Holdbrooks memberikan pen dan sekeping kad melalui celah jeriji penjara dan meminta "Jeneral" untuk menulis kalimat syahadat dalam bahasa Arab dan maksudnya dalam Bahasa Inggeris. Holdbrooks kemudiannya membaca kalimat syahadat di hadapan Jeneral. Pada masa itulah, di lorong penjara kem Delta di Guantanamo, Holdbrooks menjadi seorang Muslim.

Pada tahun 2005, Holdbrooks meninggalkan bidang ketenteraan. Dalam temubualnya bersama dengan Newsweek, beliau dan beberapa bekas warden penjara kem Guantanamo mengakui akan kekerasan dan penyiksaan yang berlaku terhadap para tahanan di kem tersebut. Namun di sebalik itu, dia juga mendedahkan adanya hubungan yang baik antara beberapa orang warden dengan para tahanan. Mereka sering berbincang tentang politik, agama dan juga muzik. Perkara itu diakui oleh Errachidi yang mendiami kem Guantanamo selama lima tahun dan telah dibebaskan pada tahun 2007. 

"Para tahanan biasanya berbual dengan warden-warden yang menunjukkan sikap hormat terhadap para tahanan. Kami berbincang dan berbual tentang apa saja," kata Errachidi dalam email yang dikirimnya dari Maghribi ke majalah newsweek untuk menguatkan keterangan Holdbrooks.

Terry Holdbrooks berasal dari keluarga yang bermasalah. Beliau membesar di Phoenix bersama-sama dengan kedua orang tuanya yang ketagihan dadah. Holdbrooks adalah seorang yang ketagihkan minuman keras sebelum menyertai ketenteraan AS pada tahun 2002. Menurut TJ (panggilang mesra Holdbrooks), dia memutuskan untuk memasuki bidang ketenteraan kerana tidak mahu hidupnya seperti orang tuanya.

Holdbrooks merupakan seorang anak muda yang sering  membuat keputusan mengikut kata hati dan sedang mencari kedamaian dalam jiwanya. Seumur hidupnya, dia jarang berfikir tentang agama. Tanpa disangka, di kem Guatanamo, beliau berkawan dengan seorang tahanan yang sangat taat terhadap ajaran agamanya. "Ramai orang Amerika yang tidak peduli lagi dengan Tuhan. Tetapi di tempat seperti ini, (kem Guatanamo) para tahanan sangat taat menunaikan solat," kata TJ.



Ketika Holdbrooks menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam, "Jeneral" Errachidi mengingatkannya bahawa menjadi seorang muslim adalah sebuah keputusan yang sangat serius, apatahlagi Holdbrooks bertugas di kem Guantanamo. "Errachidi ingin memastikan bahawa saya betul-betul faham apa yang saya katakan," kata Holdbrooks. Namun dia tetap memutuskan menjadi seorang Muslim. Keislamannya hanya diketahui oleh dua orang rakan sebilik Holdbrooks.

Tentera yang bertugas di sana mula mencium adanya perubahan pada Holdbrooks kerana mereka mendengar para tahanan memanggil Holdbrook dengan nama "Mustapha" dan melihat Holdbrooks dengan terang-terangan belajar bahasa Arab. Pada suatu malam, ketua warden memanggil Holdbrooks ke suatu tempat, di mana sudah ada lima warden lain yang menunggunya. "Mereka berteriak pada saya dan bertanya adakah saya seorang pengkhianat, adakah saya telah menjadi muslim," tutur Holdbrooks. Dan malam itu, ketua warden dan warden-warden penjara yang berada di situ telah memukulnya.

Disebabkan kejadian itu, Holdbrooks telah dipindahkan ke Ford Leonard Wood. Tetapi beberapa bulan selepas itu, dia menerima surat pemberhentian secara hormat dari ketenteraan, iaitu dua tahun sebelum kontraknya dengan ketenteraan berakhir. Pihak tentera AS tidak memberikan sebarang alasan ataupun penjelasan di atas "pemecatan" nya itu.

TJ kembali ke Phoenix dan kembali kepada rutin lamany (meminum minuman keras). Dia juga menceraikan isterinya. Ketagihan alkohol ini akhirnya membawa Holdbrooks ke hospital. Tanpa diduga, Holdbrooks bertemu kembali dengan Errachidi. Dua sahabat ini saling berkirim email dan menyambung kembali persahabatan yang terputus sekian lama.

Holdbrooks yang kini berusia 27 tahun, telah berjaya menamatkan ketagihan alkohol. Beliau juga telah bekerja sebagai perunding pendaftaran di Universiti Phoenix. Berhampiran universiti ini, terdapat sebuah masjid yang sekaligus menjadi pusat kegiatan Islam, Tempe Islamic Center. Holdbrooks kerap kali datang ke masjid itu untuk menunaikan solat berjemaah.

Ketika imam masjid Tempe Islamic Center, Amr Elsamny memperkenalkan Holdbrooks kepada seluruh jamaah dan menjelaskan bahawa Holdbrooks memeluk Islam sewaktu bertugas di kem Guantanamo, para jamaah berebut-rebut untuk bersalam dengan Holdbrooks.

Holdbrooks kini menjalankan ajaran Islam dengan taat. Bekas luka panjang di dahinya, hampir tidak kelihatan kerana tertutup dengan kopiah yang selalu dipakai. 


"Saya selalu berfikir bahawa kem penjara Guantanamo dijaga oleh tentera-tentera yang bengis dan kejam. Saya tidak pernah berfikir bahawa ada tentera seperti TJ" komen Imam Amr Elsamny mengenai peribadi Holdbrooks.

Pahlawan Yang Tidak Dikenali ( Tsabit bin Arqam )



Kini kita berada di Jumaat terakhir bulan Jamadil awal 1434 H. Pada bulan yang sama di tahun 8 H terjadi perang Muktah ataupun perang Khandaq. Banyak ibrah atau pengajaran dapat kita ambil dalam perang itu mulai dari kepahlawanan, keistiqamahan berjuang, keberanian, kecerdasan strategi perang dan sebagainya. Diantara ibrah yang tak kurang penting adalah keikhlasan yang ditunjukkan oleh seorang sahabat bernama Tsabit bin Arqam. Ia melakukan tugas besar, tetapi namanya tidak banyak dikenal dan ia juga tidak ingin terkenal. 


Perang  Khandaq bermula ketika Rasulullah saw mengutus Al Harits bin Umair untuk mengantarkan utusan kepada pemimpin Bushra. Namun di perjalanan, Al Harits dihalang oleh Syurahbil bin Amr Al Ghassany, pemimpin Al Balqa’ yang berada di bawah Qaishar Romawi. Syurahbil mengikat Al Harits dan membawanya ke hadapan Qaishar, lalu memenggal lehernya.

Membunuh utusan merupakan kejahatan yang sangat keji sekaligus mengumumkan perang kepada negara pengutus. Karena itulah Rasulullah saw sangat murka dan menghimpun 3.000 tentera. Sebelum mereka berangkat, baginda melantik Zaid bin Haritsah sebagai pemimpin pasukan seraya berpesan: “Jika Zaid gugur, penggantinya adalah Ja’far. Jika Ja’far gugur, penggantinya adalah Abdullah bin Rawahah.”  Pesanan ini amat aneh. Belum pernah Rasulullah saw berpesan seperti ini di dalam perang-perang sebelumnya.


Disingkatkan cerita, kemudian kedua pasukan bertemu setelah dua hari saling mengawasi. Mengapa tidak terus berperang? Sebab mereka sama-sama ragu. Pasukan Islam belum pernah berhadapan dengan pasukan sebanyak itu, sedangkan Pasukan Romawi juga ragu sebab pasukan Islam yang kecil itu tidak memiliki sejarah kalah. 

3.000 pasukan Islam melawan 200.000 pasukan Romawi. Jumlah yang sangat tidak seimbang. Tetapi Zaid bin Haritsah memimpin perang dengan gagah berani. Ia bertempur hebat sambil memegang bendera Islam. Di zaman itu, bendera pasukan dipegang oleh pemimpinnya. Hingga, sebuah tombak musuh mengenainya. Zaid pun jatuh ke tanah. Ia syahid.

Seperti pesan Rasulullah saw, Ja’far bin Abu Thalib mengambil bendera itu. Melanjutkan kepemimpinan perang. Ia pun bertempur dengan luar biasa. Membunuh satu per satu pasukan Romawi. Ketika peperangan makin seru, kudanya terkena senjata dan ia tercampak. Ja’far melanjutkan pertemuran hingga pasukan Romawi menebas tangan kanannya. Kehilangan tangan kanan, Ja’far memegang bendera dengan tangan kirinya. Namun kemudian tangan kirinya juga ditebas pedang musuh. Ja’far lalu mendekap bendera di dada dengan sisa-sisa lengannya agar tetap berkibar. Lalu pasukan Romawi menebaskan pedang hingga tubuhnya terbelah menjadi dua. Ibnu Umar mendapati tak kurang dari 50 luka di tubuh Ja’far yang terbelah menjadi dua itu. Dan kerana itu, Ja’far dijuluki Dzul-Janahain (orang yang memiliki dua sayap).

Setelah Ja’far syahid seperti kata Rasulullah saw, bendera diambil alih Abdullah bin Rawahah. Ia juga memimpin pasukan dan bertempur dengan gagah berani. Hingga kemudian ia pun gugur. Pada saat itu di Madinah, Rasulullah saw mengkhabarkan gugurnya ketiga panglima Islam tersebut. “Zaid mengambil bendera lalu dia gugur. Kemudian Ja’far mengambilnya lalu dia juga gugur. Kemudian Ibnu Rawahah mengambilnya, dan ia pun juga gugur.” Rasulullah saw menangis, para sahabat juga ikut menangis.

Kembali ke Muktah. Rasulullah saw memang menunjuk urutan panglima mulai dari Zaid, Ja’far lalu Ibnu Rawahah. Tetapi setelah itu tidak ada petunjuk. Padahal bendera jatuh dan harus diselamatkan, perang harus dilanjutkan, harus ada pemimpin baru. Pada saat itulah seorang sahabat dari Bani Ajlan, Tsabit bin Arqam maju dan menyelamatkan bendera. Setelah bendera di tangannya ia berteriak, “Wahai semua muslim, angkatlah pemimpin baru!”


“Engkau saja,” jawab mereka.


“Aku tidak akan sanggup” kata Tsabit yang kemudian mencari seseorang dan memintanya memimpin. 

“Kau yang harus memimpin wahai Abu Sulaiman” semula ia menolak, tetapi setelah musyawarah singkat menunjuknya. Abu Sulaiman pun memimpin dengan gagah berani. Dialah yang disebut Rasulullah saw sebagai Syaifullah (pedang Allah), Khalid bin Walid.

Kita amat memerlukan orang-orang seperti Tsabit bin Arqam ini. Jasanya besar, meskipun ia tidak terkenal. Kita juga perlu belajar dari Tsabit bin Arqam, yang terus beramal, terus berjasa, menyumbang jasa besar, tanpa mempedulikan apakah kita akan dikenal atau tidak. Keihlasan seperti inilah yang sulit dan barangkali cukup langka di zaman kita, hari–hari ini. Tetapi hanya dengan ikhlas-lah, amal-amal kita akan bernilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tanpa keikhlasan, sirnalah segala amal, sia-sia dalam pandangan-Nya. Wallahu'alam..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...