Qotzman Si Pahlawan Neraka
Setelah berjihad dalam perang Uhud, Muhammad s.a.w dan para sahabat telah berkumpul dan membincangkan tentang pertempuran yang telah mereka lalui. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di dalam benak mereka.
Dalam perbincangan itu, mereka sangat kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka, yaitu Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor harimau lapar yang ingin terus memangsa musuh. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah bibir di kala itu.
“Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman,” kata salah seorang sahabat.
Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab, “Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka.”
Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah s.a.w itu. Mereka berasa hairan dan terkejut apabila mendengar jawapan Rasulullah s.a.w. Bagi mereka adalah mustahil untuk seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah berani menegakkan Islam boleh masuk ke dalam neraka.
Rasulullah s.a.w sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan cerita baginda, lalu baginda berkata,
“Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya.”
“Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka.”
Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, “Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang.”
Wallahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment